Malaysia, Singapura memeterai MoU kerjasama maklumat & komunikasi
Norsiah Mohd Ramli
Februari 19, 2016 22:33 MYT
Februari 19, 2016 22:33 MYT
Buat pertama kalinya, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama maklumat dan komunikasi, terutama dalam bidang penyiaran.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, perjanjian tersebut turut menguatkan hubungan dua hala yang sedia ada.
"Perjanjian ini sangat bersejarah kepada dua-dua negara dan kami akan bekerjasama di dalam dua bidang ini," katanya ketika ditemui selepas memeterai MoU berkenaan di sini, hari ini.
Selain itu, ia juga akan memperhebatkan lagi kerjasama kedua negara dalam bidang teknologi maklumat.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk bertukar program radio dan televisyen serta media massa termasuk polisi serta dasar dan undang-undang berkaitan bagi manfaat kedua-dua negara.
Sementara itu, menurut Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim, selain maklumat, Malaysia dan Singapura akan berkongsi kepakaran masing-masing.
"MoU ini sangat perting kerana bidang komunikasi dan maklumat berkembang dengan sangat cepat. kolaborasi ini membenarkan kami bertukar kepakaran dan maklumat.
"Jadi, kami sangat mengalu-alukan kolaborasi dengan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada kami iaitu kami akan belajar dengan Malaysia dan Malaysia turut sama berkongsi dengan Singapura," katanya.