Malaysia, Singapura capai kesepakatan, kemajuan beberapa isu tertunggak - Anwar

Bernama
Oktober 9, 2024 06:50 MYT
Anwar dan Wong ketika mengadakan pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, semalam. –-fotoBERNAMA
VIENTIANE: Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan dan kemajuan berkaitan beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu-isu itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Rabu.
Tanpa menyatakan isu tertunggak berkenaan, Anwar berkata ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam sesi permukiman tahunan Malaysia-Singapura hujung tahun ini.
“Selama hampir 40 minit, saya dan PM Lawrence berbincang beberapa perkara terkait kepentingan kedua-dua negara, terutama meneroka kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berbangkit secara berkesan dan sepantas mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata selepas pertemuan empat mata itu, beliau dan Wong kemudiannya mengetuai mesyuarat dua hala bersama menteri-menteri dan delegasi kedua-dua negara.
Sebelum ini dilaporkan isu-isu tertunggak antara kedua-dua negara termasuk kawalan ruang udara, isu air dan sempadan maritim.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dibuka secara rasmi semalam hingga 11 Okt.
Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan pengerusi itu kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Lawrence Wong #Sidang Kemuncak ASEAN #Malaysia-Singapura
;