Malaysia siap siaga hadapi risiko virus Zika

Anthea Yap
Ogos 29, 2016 18:50 MYT
Sehingga Sabtu lalu, 784 sampel darah pesakit menunjukkan simptom Zika diuji dan semua keputusannya adalah negatif. - Gambar Astro AWANI
Malaysia bersiap siaga berhadapan dengan jangkitan virus Zika susulan beberapa kes yang dilaporkan di Singapura.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mempunyai pakar dan kemudahan yang cukup untuk mendepani sebarang kemungkinan.
Menurut beliau, 80 peratus daripada pembawa virus Zika sukar dikesan kerana ia mengambil masa hingga seminggu bagi menunjukkan simptom.
"Virus itu sampai atau tak sampai, mereka yang sudah dikesan positif akan dimasukkan ke dalam wad dan tujuan utamanya adalah untu mengurangkan jangkitan virus itu kepada individu lain.
Semua hospital utama di negara ini mempunyai unit kawalan penyakit berjangkit dan diketuai oleh Ketua Pakar Jangkitan Penyakit Malaysia, Dr Christopher Lee dan kita mempunyai pakar di seluruh negara untuk merawat penyakit ini," katanya ketika sidang media khas di ibu pejabatnya di sini.
Jelasnya, semua hospital utama di seluruh negara juga dilengkapi kemudahan ujian darah bagi mengesan virus Zika.
Sehingga Sabtu lalu, 784 sampel darah pesakit menunjukkan simptom Zika diuji dan semua keputusannya adalah negatif.
Dr Subramaniam juga menyarankan kepada rakyat Malaysia yang kerap ke Singapura terutama penduduk Johor, diminta melakukan ujian darah secara sukarela.
Menurut beliau, mustahil bagi KKM untuk memeriksa hampir 200 ribu orang berulang alik dari Johor ke negara jiran atas pelbagai urusan.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura yang dimaklumkan mengenai kes itu berkata oleh kerana dia tidak berkunjung ke kawasan-kawasan yang kes itu dilaporkan, dia mungkin telah dijangkiti di Singapura.
"Bagi individu yang mengalami simptom virus Zika seperti demam, ruam, sakit mata dan sakit sendi. Ini adalah empat simptom utama dan mereka perlu pergi ke pusat rawatan untuk mendapatkan ujian darah", katanya di sini.
Dr Subramaniam berkata, walaupun virus Zika ini jarang mengakibatkan kematian, wanita mengandung yang dijangkiti virus itu berisiko melahirkan bayi dengan kepala kecil, keadaan yang dikenali sebagai microcephaly dan kecacatan otak lain.
"Penyakit ini boleh merebak melalui perhubungan sek dan ia berbeza daripada jangkitan denggi berbanding virus Zika yang boleh merebak melalui hubungan senyawa.
Dengan itu, mereka yang ada virus ini perlu mendapat pengetahuan dan sama ada mereka mempunyai virus itu perlu berjaga-jaga dan cuba menggelakkan diri sementara daripada melakukan perhubungan seks", katanya disini.
Sementara itu, pemantauan di semua pintu masuk utama negara sudah ditingkatkan, terutama terhadap pelancong atau rakyat Malaysia yang kembali dari negara diserang wabak Zika dan setakat ini, tiada pelawat disyaki dijangkiti virus berkenaan.
"Kementerian Kesihatan juga menyaring kontinjen termasuk semua atlet yang menyertai Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil dan semua 56 sampel didapati negatif bagi virus Zika.
Kini kami meminta penyokong yang menyaksikan acara sukan itu supaya tampil melakukan pemeriksaan darah secara sukarela", katanya.
Sabtu lalu, seorang wanita rakyat Malaysia berusia 47 tahun dipercayai pesakit pertama dijangkiti virus Zika di Singapura.
Wanita itu dipercayai tinggal di Blok 102 Aljunied Crescent dan bekerja di Republik itu.
Kerajaan Singapura pada Ahad mengesahkan berlaku 41 kes virus Zika dari jangkitan dalaman di negara itu.
Memetik laporan Channel News Asia, MOH Singapura dan NEA melaporkan, 34 daripada jumlah tersebut telah sembuh sepenuhnya.
#Rio de Janeiro #S.Subramaniam #Singapura #Sukan Olimpik #virus #Zika
;