Malaysia seru komuniti perniagaan Perancis tingkatkan kerjasama demi kemakmuran ASEAN
Bernama
November 4, 2024 05:15 MYT
November 4, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyeru komuniti perniagaan Perancis di negara ini meningkatkan kerjasama berikutan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan untuk mewujudkan komuniti sejahtera, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
"Mari kita bekerjasama untuk membina hubungan lebih teguh antara Malaysia dan Perancis, bukan sahaja dalam perniagaan malah budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat," katanya pada majlis makan malam gala Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di sini pada Isnin.
Beliau berkata Malaysia dan Perancis telah membina hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh sejak beberapa dekad lepas dengan sejumlah 600 syarikat Perancis di Malaysia.
"Pada tahun lepas, Perancis menjadi rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU), dengan jumlah perdagangan berjumlah RM16.72 bilion, menyumbang kira-kira lapan peratus bahagian daripada jumlah perdagangan kami dengan EU.
"Pelaburan Perancis ke Malaysia adalah pelbagai, daripada sektor elektrik dan elektronik, infrastruktur, aeronautik dan pertahanan, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan," katanya.
Liew menekankan bahawa kerajaan mempunyai misi untuk menjadikan rakyat Malaysia dan rakyat ASEAN mempunyai pendapatan lebih besar dengan penduduk berjumlah 670 juta pada masa ini.
"Walaupun dunia kini bergantung kepada Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China untuk menggunakan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan di peringkat global, kita perlu berani untuk membayangkan dunia dengan beberapa lagi pasaran pengguna iaitu ASEAN, Amerika Selatan dan Timur Tengah dan Afrika.
"Bagi mewujudkan pasaran ini, syarikat Perancis di Malaysia atau ASEAN perlu membayar gaji yang lebih baik kepada pekerja Malaysia dan di rantau ASEAN untuk membolehkan mereka berada dalam kelas pertengahan.
"Dengan cara ini, syarikat Perancis meraih manfaat dengan mewujudkan pasaran untuk produk mereka di luar AS, Eropah dan China," katanya.
-- BERNAMA