Malaysia seru Azerbaijan dan Armenia bertenang, sambung rundingan aman
Hasimi Muhamad
September 17, 2022 16:55 MYT
September 17, 2022 16:55 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat dalam pertempuran antara Azerbaijan dan Armenia agar bertenang dan menyambung semula rundingan secara aman.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah tersebut bagi memastikan tidak berlaku konflik yang lebih buruk dengan mencari penyelesaian bagi mengembalikan keamanan yang berpanjangan di rantau itu.
Jelas Wisma Putra, Malaysia menzahirkan keprihatinan terhadap situasi semasa di Nagorno-Karabakh, yang setakat ini menyaksikan lebih 150 nyawa terkorban akibat pertempuran antara Azerbaijan dan Armenia
“Malaysia sentiasa menyokong berdasarkan empat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum pelbagai hala Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
"Malaysia juga sentiasa menyokong resolusi dan inisiatif oleh OIC dan PBB mengenai konflik Nagorno-Karabakh.
“Malaysia turut mengundi menyokong Resolution 62/243: The Situation in the Occupied Territories of Azerbaijan, yang diterima pakai pada 14 Mac 2008 pada Sesi ke-62 Perhimpunan Agung PBB,” menurut kenyataan tersebut,
Tambah Wisma Putra, resolusi itu selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan dengan isu penyelesaian konflik secara aman berdasarkan menghormati integriti wilayah dan larangan mencabuli sempadan wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
#Peperangan Azerbaijan dan Armenia
#Konflik peperangan di Nagorno-Karabakh
#Wisma Putra
#berita luar negara
#Kementerian Luar