Malaysia seru ASEAN, OIC main peranan lebih tegas, hentikan penindasan di Myanmar - Mohamad
Syafik Shukri Jalil
September 25, 2024 07:45 MYT
September 25, 2024 07:45 MYT
NEW YORK: Malaysia menyeru ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan yang lebih tegas dalam menangani isu kemanusiaan yang mencengkam melibatkan umat Islam termasuk etnik Rohingya di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di peringkat ASEAN, mekanisme TROIKA akan terus diperkasakan dengan berlandaskan Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PCs).
‘’Bila kita bercakap tentang (situasi) di Myanmar, banyak orang salah faham. Orang mengingatkan bahawa isu ini hanya melibatkan etnik Rohingnya (semata-mata).
‘’Sedangkan ada lebih daripada tujuh juta umat Islam di Myanmar, yang terdiri daripada pelbagai etnik. Malangnya, hanya 30 peratus yang diketahui umum dan mereka telah ditindas, dibunuh, dihalau serta rumah mereka dibakar,’’ katanya.
Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pertemuannya bersama wakil negara OIC menerusi Meeting of the OIC Contact Group on Rohingya Muslims of Myanmar di luar sidang Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-79 di sini, pada Rabu.
Selain itu ujarnya, bantuan dan sokongan daripada negara-negara besar dan blok-blok yang berpengaruh termasuk PBB dan OIC dialu-alukan kerana isu di Myanmar merupakan satu isu yang signifikan dan perlu ditangani secara bersama.
‘’Isu Myanmar ini bukan satu isu yang mudah, (ini merupakan) satu isu yang besar dan kita tidak mahu ia mencemarkan nama baik ASEAN yang tidak mahu mencampuri hal ehwal dalaman (sesebuah negara).
‘’Tetapi bagi pandangan saya keadaan di Myanmar ini menjangkau daripada sempadan negara mereka.
‘’(Ini kerana menerusi) laporan PBB (Laporan terbaharu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah, UNODC mengenai kedudukan Myanmar sebagai pengeluar dadah terbesar di dunia), (Myanmar) dah mengambil tempat pertama sebagai negara pertama sebagai pengeluar dadah terbesar melibatkan pelbagai jenis dadah, penipuan kerja, dan perjudian dalam talian,’’ tambahnya.
Justeru ujarnya, ASEAN tidak boleh berdiam diri dengan berpegang kepada prinsip tidak mencampuri hal ehwal dalaman sesuatu negara.
Malah, semua negara anggota perlu mencari penyelesaian yang komprehensif supaya isu ini dapat ditangani sebaiknya seterusnya menghentikan kekejaman terhadap umat Islam di sana.