Malaysia sertai Persidangan Antarabangsa Menteri-Menteri Kebudayaan di Turkmenistan
Bernama
Mei 18, 2024 20:45 MYT
Mei 18, 2024 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan antara negara yang menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Kebudayaan Antarabangsa yang bermula semalam di Ashgabat, kata Duta Turkmenistan ke Malaysia M. Mashalov.
Duta itu berkata persidangan dua hari itu diadakan sempena ulang tahun ke-300 kelahiran ahli falsafah dan penyair hebat Turkmen, Magtymguly Fragi (1724-1798).
Malaysia diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Yusri Mohd Yusoff.
"Kerajaan Turkmenistan memberikan banyak kepentingan kepada pemeliharaan dan perlindungan warisan budaya dan sejarah, malah tahun 2024 telah diisytiharkan sebagai 'Tahun Penyair dan Pemikir Agung Dunia Turki Magtymguly Fraghi'," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata wakil-wakil organisasi antarabangsa penting turut menghadiri acara tersebut, antaranya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kebudayaan Turki Antarabangsa (TURKSOY) dan Komanwel Negara Merdeka.
Mashalov berkata antara acara kemuncak adalah pembukaan Kompleks Kebudayaan dan Taman Magtymguly Fragi di bahagian selatan Ashgabat dan perasmian tugu Magtymguly Fragi semalam.
Selain itu, patung penulis, penyair dan ahli falsafah terkenal dari luar negara turut dipamerkan di kompleks tersebut, tambahnya.
Mashalov berkata para delegasi akan membincangkan karya sastera Magtymguly Fragi dan budaya dunia serta pada akhir persidangan, satu deklarasi dijangka akan diterima pakai.
Duta tersebut juga menyatakan bahawa Magtymguly, yang dihormati sebagai "Bapa Puisi Turkmen" adalah antara tokoh penting dalam sejarah Turkmen dan dunia berbahasa Turki yang lebih luas. Tradisi puisi yang dimulakan olehnya kekal bersemangat dan berpengaruh hingga ke hari ini.
Menggambarkan Magtymguly sebagai penyair rakyat dan penyair penuh kebijaksanaan, beliau berkata bahawa Magtymguly bukan sahaja seorang penyair klasik yang hebat tetapi juga seorang ahli falsafah terkemuka pada zamannya. Beliau dianggap sebagai bapa kesusasteraan Turkmen dan bahasa Turkmen klasik. Koleksi manuskrip Magtymguly telah dimasukkan dalam Program Memori Dunia UNESCO.
Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov dalam ucapannya pada persidangan tersebut berkata bahawa persidangan itu akan memberikan dorongan kuat untuk memperluas kerjasama budaya yang saling menguntungkan, memajukan inisiatif dalam bidang berkenaan dan mempromosikan kajian mendalam serta popularisasi meluas warisan sastera kaya Magtymguly Fragi di peringkat global.
Presiden tersebut juga berkata bahawa usaha sedang dilakukan untuk secara konsisten meningkatkan kerjasama antara Turkmenistan, negara-negara lain dan organisasi antarabangsa serta program berskala besar yang fokus pada memperkuat keamanan serantau dan global, serta memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dan adil, sedang dilaksanakan dengan jayanya.
-- BERNAMA