Malaysia sertai negara OIC kecam tindakan AS

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 7, 2017 16:38 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki menggesa dunia mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. -- fotoBERNAMA
Malaysia menggesa dunia mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki, Malaysia sama sekali tidak menerima kenyataan yang dikeluarkan AS dan akan menyuarakan pandangan ketika mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) minggu hadapan.
"Baitulmaqdis adalah kota suci umat Islam, dan ia sudah pasti menjadi satu perjuangan mutlak umat Islam seluruh dunia. Sudah pasti pada mesyuarat itu nanti, Malaysia akan menyumbangkan pendapat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Kita mahu hasil dari perbincangan itu nanti akan dibawa kepada negara dunia lain untuk tujuan berkerjasama menentang usaha buruk Amerika Syarikat dan Israel itu." jelasnya ketika ditemui di laman media sempena Perhimpunan Agong UMNO 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Tegasnya lagi, jika negara bukan islam lain terutamanya Eropah enggan mengikuti langkah pembelaan yang diusahakan OIC, beliau bimbang keadaan dunia akan menjadi lebih buruk.
"Jika usaha yang diusulkan nanti tidak diterima atau tidak mendapat kerjasama penuh negara dunia lain, saya bimbang kita sebenarnya sedang mengiyakan keganasan.
"Keganasan yang saya maksudkan adalah kebangkitan ideologi atau gerakan baharu Neo-Radikalisme dan Neo-ekstremisme yang telah dipraktikkan Donald Trump." tambahnya.
Dalam pertemuan antara Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Raja Jordan, Raja Abdullah II di Ankara Turki hari ini, Erdogan selaku pengerusi OIC mengumumkan mesyuarat pertubuhan itu akan diadakan pada 13 Disember ini.
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Israel #Malaysia #masjid al aqsa #oic #Palestin #Palestine #PAU2017 #UMNO 4 0
;