Malaysia sertai dunia rakam takziah kepada Keluarga Diraja Britain
Firdaus Azil
September 9, 2022 10:15 MYT
September 9, 2022 10:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Keluarga Diraja Britain atas pemergian Ratu England, Ratu Elizabeth II awal hari ini.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam catatan di laman media sosialnya berkata, ucapan itu turut dipanjangkan kepada rakyat serta kerajaan negara tersebut.
Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Ratu Elizabeth II merupakan satu figura yang sangat penting, dan telah mengabadikan hayat dan khidmatnya untuk rakyat United Kingdom serta Komanwel.
Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Azmin berkata, beliau secara peribadi berasa sedih dengan pemergian Ratu UK itu, seorang figura Diraja yang beliau gambar sebagai tokoh yang mempunyai maruah, kedudukan, dan populariti yang tiada tandingannya.
Sementara itu pemimpin kerajaan di serata dunia turut menyampaikan ucapan takziah kepada United Kingdom.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menganggap Ratu Elizabeth II bukan sekadar sosok Diraja, tetapi lebih kepada sebuah era.
“Ketika dunia berubah dengan mendadak, Baginda masih kekal, dan menjadi sumber keselesaan dan kebanggaan untuk setiap generasi rakyat British, termasuk mereka yang takkan pernah mengenali negara mereka tanpa Baginda.
“Tujuh dekad pemerintahan Baginda menjadi saksi terhadap era kemajuan manusia yang tidak pernah dijangka, dan terus maju sebagai bangsa yang bermaruah,” katanya lagi.
Perdana Menteri India Narendra Modi berkata beliau sama sekali tidak akan melupakan kebaikan Ratu Elizabeth II sepanjang pertemuan mereka.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pula berkata, Ratu Elizabeth II sentiasa berada dalam pemikiran mereka, dan khidmat serta bakti Baginda kepada rakyat Kanada akan terus tercatat sebagai sejarah negara yang penting.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese turut merakamkan takziah, dan berkata seluruh rakyat negara itu akan terus mengenang dan memandang tinggi peranan Ratu Elizabeth II dalam pembangunan Australia.
Awal hari ini media melaporkan, Ratu Elizabeth II, pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.
Serentak pengumuman itu , bendera di United Kingdom (UK) dan seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.