Malaysia serius atasi isu pemerdagangan manusia
Bernama
Mei 30, 2015 07:00 MYT
Mei 30, 2015 07:00 MYT
Malaysia bukan saja bercadang mengadakan sidang kemuncak mini ASEAN bagi membincangkan isu pemerdagangan manusia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah itu dalam kalangan negara-negara anggota.
Malah, Malaysia juga tegas dalam mengenal pasti 'kepala' yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengarahkan pihak berkuasa mencari 'kepala' yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di sempadan negara ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sehari ke Perlis hari ini, Najib berkata tindakan keras perlu diambil terhadap ketua atau kepala sindiket dan bukannya orang bawahan yang menjadi upahan, sekiranya kegiatan itu ingin dibanteras.
Setakat ini, 35 mayat dipercayai mangsa aktiviti pemerdagangan manusia telah digali semula dari Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis sejak kem-kem transit dijumpai Isnin lepas.
Mayat-mayat itu adalah sebahagian rangka manusia yang dikeluarkan dari 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang diwujudkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Perlis-Thailand.
Najib minta cari 'kepala' sindiket pemerdagangan manusia
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kawalan keselamatan di satu daripada laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand dikenali sebagai laluan Syed Omar di Kangar, akan diperketat dan rondaan berkala dipertingkatkan.
Bekas menteri besar Perlis itu berkata laluan kira-kira empat kilometer tidak berpagar merentasi hutan simpan kedua-dua buah negara itu telah menjadi perhatiannya sejak 20 tahun lepas.
"Tempat itu kalau nak bawa lari gajah pun boleh, sebab situ tak ada pagar dan paling cepat sampai ke bawah, tetapi antara halangan besar sebab terpaksa lalu jalan kampung, sebab itu di situ kurang sikit penyeludupan," katanya di Kangar.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata kerajaan berhasrat membina tembok dan benteng di sempadan Malaysia-Thailand, selain meningkatkan pengawasan di pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), untuk membanteras kegiatan pemerdagangan manusia.