Malaysia sedia terima 15 tahanan Palestin - Mohamad Hasan
Sinar Harian
Mac 18, 2025 17:05 MYT
Mac 18, 2025 17:05 MYT
Mohamad ketika ditemui media selepas Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Pekerti hari ini. - Foto/ Bernama
SEREMBAN: Malaysia bersedia menerima 15 tahanan atau pejuang Palestin yang dibebaskan Israel sebagai sebahagian daripada usaha perdamaian di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Ringkasan AI
- Malaysia bersedia menerima 15 tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata di Gaza.
- Tahanan yang dibebaskan tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman mereka, dan ini adalah sebahagian daripada syarat yang dipersetujui oleh negara-negara OIC.
- Malaysia menjalankan tanggungjawab antarabangsa dengan menerima tahanan tersebut, dan langkah ini tidak membebankan negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada syarat perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui oleh negara-negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Syarat gencatan senjata sementara yang dipersetujui sebelum ini, hasil inisiatif kerajaan Qatar, Republik Arab Mesir dan Amerika Syarikat, menyatakan bahawa tahanan yang dibebaskan tidak boleh pulang ke Gaza atau kampung halaman mereka.
"Kita bersetuju dengan cadangan itu kerana keutamaan kita adalah memastikan gencatan senjata tercapai, selain Hamas membebaskan tawanan perang mereka (rakyat Israel) dan Israel pula melepaskan tahanan Palestin yang telah ditahan tanpa bicara selama bertahun-tahun, ada yang sehingga 70 tahun sejak usia 20 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) Pekerti Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Menurutnya, usaha membawa kumpulan tahanan itu ke Malaysia sedang dalam proses rundingan dan diperhalusi.
Mohamad menjangkakan mereka akan dibawa ke negara ini dalam masa terdekat selepas segala dokumentasi selesai.
"Kita sedang meneliti dan menghantar pasukan bagi memilih individu yang akan dibawa ke sini.
"Bukan sahaja Malaysia, malah Turkiye, Mesir, Pakistan dan Indonesia turut mengambil bahagian dalam usaha ini sebagai negara anggota OIC," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak salah faham terhadap langkah tersebut kerana ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab antarabangsa negara.
"Saya harap rakyat Malaysia yang berjiwa besar tidak salah anggap. Jangan kata ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’. Itu tidak benar.
"Kita bukan menyusukan kera di hutan, sebaliknya kita menjalankan tanggungjawab antarabangsa, lebih-lebih lagi sebagai negara yang lantang menyokong perjuangan Palestin," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesediaan Malaysia menerima 15 rakyat Palestin yang dibebaskan itu adalah jumlah yang memadai dan tidak membebankan.
Mengenai lokasi penempatan mereka, Mohamad berkata perkara itu akan diputuskan kemudian, namun kaedahnya akan sama seperti pelarian Syria yang pernah dibawa masuk ke negara ini sebelum ini.
"Jika dibandingkan dengan negara lain seperti Lubnan dan Mesir yang menerima ratusan tahanan, Malaysia hanya mengambil 15 orang sahaja.
"Ini adalah sumbangan kecil kita bagi memastikan gencatan senjata dapat diteruskan dan perdamaian berkekalan di Gaza serta Palestin," katanya. - Sinar Harian