Malaysia sedia sambut pengembara pelayaran susulan pembukaan penuh sempadan
Bernama
Mei 13, 2022 18:28 MYT
Mei 13, 2022 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menyambut pengembara pelayaran antarabangsa susulan pembukaan penuh sempadan, sempena penyertaan Tourism Malaysia di Ekspo Seatrade Cruise Global 2022 di Miami pada 25 hingga 28 April lepas.
Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata ia juga sebahagian usaha negara mempromosi pelancongan pelayaran serta menarik lebih ramai pengusaha kapal untuk berlabuh di Malaysia.
"Malaysia mempromosi acara tepi lautnya, kemudahan pelabuhan seperti pelabuhan persinggahan dan pelabuhan asal, serta lawatan prapelayaran dan pascapelayaran, iaitu pengembara dapat merasai sendiri kepelbagaian budaya dan biodiversiti di darat dan lautan," menurut kenyataan itu.
Penyertaan Tourism Malaysia dalam ekspo berkenaan bertujuan membina jaringan hubungan dan memenuhi janji temu perniagaan dengan Persatuan Industri Perjalanan Florida (TIA), persatuan-persatuan pelancongan kebangsaan ASEAN serta pemain industri perjalanan pelayaran, selain wawancara dengan media tempatan di Amerika Syarikat mengenai destinasi dan produk pelancongan Malaysia.
"Kita telah kembali kepada kebiasaan perjalanan dan ini adalah masa yang tepat untuk kami mempromosikan persatuan dan kerjasama, khususnya Malaysia sebagai hab menaiki kapal untuk pengembara pelayaran ke Asia dan rantau Asia Tenggara," kata Naib Presiden Tourism Malaysia di Los Angeles Akbal Setia.
-- BERNAMA
#Pengembara
#pelancongan
#Tourism Malaysia
#pengembara pelayaran antarabangsa
#pembukaan penuh sempadan
#Ekspo Seatrade Cruise Global 2022