Malaysia sedia salur bantuan kewangan kepada Lubnan - PM

Bernama
November 11, 2024 19:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat dari Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati di ibu kota Arab Saudi, Riyadh hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat serangan Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Malaysia akan memberi bantuan kewangan kepada Lubnan untuk membantu mangsa serangan Israel, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Anwar menyatakan sokongan Malaysia kepada Lubnan dan menyebut bahawa Malaysia turut terkesan apabila enam anggota MALBATT cedera akibat ketegangan di Lubnan.
  • Anwar berlepas ke Riyadh untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam bagi membincangkan isu tersebut.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati semasa menerima kunjungan hormat pemimpin itu di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
"Dalam pertemuan ini saya nyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan kegilaan rejim Zionis Israel.
"Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel sehingga mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tercedera," katanya.
Pada malam Ahad, Anwar Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk ke Riyadh, bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu yang dijadual berlangsung hari ini.
-- BERNAMA
#Malaysia #bantuan #lubnan #Perdana Menteri Anwar Ibrahim
;