Malaysia sedia runding tambah bantuan rakyat Palestin - Perdana Menteri

Afiezy Azaman
Ogos 25, 2024 11:50 MYT
Perdana Menteri Anwar (dua, kiri) menyempurnakan gimik perasmian lukisan Masjid Al-Aqsa sempena Muktamar Masjid SeMalaysia Untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 1446H/2024M di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk berunding bagi menambah bantuan merawat rakyat Palestin yang cedera sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, setakat ini, fokus kerajaan Malaysia ialah menawarkan rawatan kepada rakyat Palestin yang telah tiba di negara ini, baru-baru ini.
"Setakat ini tidak ada perkembangan sebabnya fasa pertama adalah perubatan yang mana (rakyat Palestin) telah baik akan dihantar balik. Jadi kita ambil pendekatan aman dan tenang sekejap.
“Kemudian kita runding dengan Mesir untuk menampung, Arab Saudi, Turkiye dan Qatar untuk kita tengok kalau ada keperluan kita boleh bincang dan setakat ini kita nak rawat mereka sehingga sihat dahulu.
"Kita akan bincang… tetapi sekarang terlalu awal," kata Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Pada 15 Ogos lalu Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Muktamar tersebut turut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan timbalannya, Dr Zulkifli Hasan serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin Datuk Seri Ahmad Awang.
Kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta-duta dari perwakilan asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara hadir dalam muktamar tersebut anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.
#rakyat Palestin #rawatan rakyat Palestin #PM Anwar Ibrahim #bantuan Gaza