Malaysia sedia runding dengan China isu pertikaian Laut China Selatan

Bernama
April 3, 2023 11:45 MYT
Pada Jumaat lalu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Xi Jinping di Great Hall of the People, Beijing, China. - Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Malaysia sedia berunding dengan China mengenai isu pertikaian di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata ketika mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden China Xi Jinping sempena lawatan rasminya ke China, isu Laut China Selatan dibangkitkan kerana syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), mempunyai pelantar terbesar bagi projek cari gali yang beroperasi di kawasan berkenaan.
"Di kawasan itu ada tuntutan yang sama dari China. Saya beritahu bahawa sebagai negara kecil yang memerlukan sumber minyak dan gas, kita terpaksa teruskan tetapi kalau syaratnya harus ada rundingan, maka kita sedia berunding," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar berkata ketika lawatannya ke China itu, beliau turut menyentuh isu Myanmar dan pelarian Rohingya biarpun mengetahui China mengamalkan dasar tidak campur tangan.
"China rapat dengan Myanmar tetapi dasar mereka tidak campur tangan, saya katakan kita pun tidak bermaksud campur tangan.
"Tetapi ada hampir 200,000 pelarian Rohingya di sini (Malaysia). Jadi sama ada kita suka atau tidak, apa yang berlaku di Myanmar, yang menafikan hak penduduk Myanmar sendiri termasuk Rohingya, itu beri kesan kepada kita," katanya yang turut memaklumkan bahawa Myanmar juga tidak mahu menerima hampir 200,000 pelarian terbabit.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #China #Laut China Selatan #Xi Jinping
;