Malaysia sedia pimpin ASEAN ke arah kestabilan, kemakmuran - PM Anwar
Nabilah Khaleeda
Mei 23, 2024 10:25 MYT
Mei 23, 2024 10:25 MYT
TOKYO: Malaysia menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan kepimpinan dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran global yang semakin meningkat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Nikkei (Masa Depan Asia) ke-29, di sini, hari ini, Perdana Menteri menekankan bahawa perdagangan, pelaburan dan teknologi kini sering digunakan sebagai senjata dalam persaingan antara kuasa dunia, sekali gus menjejaskan negara-negara membangun.
Justeru, sebagai persiapan untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia komited untuk memperkuatkan kerjasama ekonomi serantau dan mengurangkan perbezaan dalam negara-negara ASEAN.
“Usaha ini termasuk memperkenalkan kerangka Ekonomi MADANI untuk pembangunan yang mampan dan inklusif serta Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 (NIMP 2030) untuk memacu industri strategik seperti semikonduktor dan keluli.
“Malaysia juga melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, menunjukkan komitmen negara terhadap kemampanan alam sekitar,” kata beliau.
Dalam ucapan itu, Perdana Menteri turut menggariskan antara usaha lain diambil Malaysia ialah memanfaatkan aliran masuk pelaburan langsung asing dan kepelbagaian rantaian bekalan global untuk pembangunan yang lebih seimbang.
Anwar turut menekankan kepentingan solidariti dan kerjasama di kalangan negara-negara Asia untuk mencapai masa depan yang aman, stabil dan makmur.
"Kita mesti berdiri bersama, tidak membiarkan kekuatan luaran atau persaingan tidak sihat menarik kita jauh daripada matlamat yang lebih besar," tambah beliau.
Perdana Menteri tidak ketinggalan menyampaikan ucapan tersebut dengan tekad Malaysia terus menjadi peneraju dalam ekonomi serantau dan global, memanfaatkan kekuatan kerjasama dan inovasi untuk menghadapi cabaran-cabaran masa depan.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru kepada tindakan kolektif untuk menghadapi perubahan ekonomi, teknologi, dan geopolitik yang pesat.