Malaysia sedia kongsi kepakaran dengan negara Global South dalam BRICS - PM Anwar

Bernama
September 5, 2024 18:53 MYT
Anwar berkata, Malaysia akan mempunyai peluang untuk memanfaatkan ekonomi Global South dan memastikan amalan perdagangan yang adil dikekalkan. - Gambar/ Fath Rizal/ PMO
VLADIVOSTOK (Rusia): Menyertai organisasi antara kerajaan BRICS bukan sahaja membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada kumpulan negara Global South tetapi turut memberi ruang kepada negara untuk berkongsi kepakarannya, terutamanya berdasarkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dengan menyertai BRICS, Malaysia akan mempunyai peluang untuk memanfaatkan ekonomi Global South dan memastikan amalan perdagangan yang adil dikekalkan serta infrastruktur kewangan antarabangsa tidak dimonopoli oleh satu negara atau satu rantau.
"Pada asasnya, ini akan memberi manfaat kepada Malaysia, Global South dan secara tidak langsung kepada seluruh dunia," kata beliau pada sesi soal jawab pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di sini hari ini.
Ia turut disertai Presiden Rusia Vladimir Putin dan Naib Presiden China Han Zheng.
Terdahulu, dalam ucaptama beliau, Anwar yang merujuk kepada anggaran terkini berkata Global South kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keluaran ekonomi dunia.
"Global South merangkumi 85 peratus daripada penduduk global. Menjelang 2030, diunjurkan tiga daripada empat ekonomi terbesar adalah daripada Global South," kata beliau.
Anwar berkata merangkumi negara-negara di seluruh Asia, Afrika dan Amerika Latin, Global South berada pada trajektori untuk memainkan peranan penting dalam membentuk semula masa depan ekonomi dunia.
Global South secara amnya terdiri daripada Afrika, Amerika Latin dan Caribbean, Asia (tidak termasuk Israel), Jepun, Korea Selatan dan Oceania (tidak termasuk Australia dan New Zealand).
Sementara itu, Perdana Menteri bersetuju dengan Putin bahawa terdapat banyak peluang yang boleh diterokai merentasi semua sektor antara kedua-dua negara seperti tenaga, kompleks perindustrian dan teknologi digital.
"Kami juga akan menghantar lebih ramai pelajar ke Rusia," kata Anwar.
Mengenai rakan dagang, beliau menekankan bahawa Malaysia telah menjalin hubungan perdagangan yang kukuh dengan Amerika Syarikat dan membina kerjasama yang lebih erat dengan China.
"Rusia secara tradisinya adalah negara yang baik dalam hubungan diplomatik dengan Malaysia," kata Anwar.
BRICS adalah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009 dan merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.
Pada Januari 2024, negara-negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.
Secara kumulatif, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion (US$1=RM4.34), iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara kumpulan G7.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Rusia #BRICS #global south
;