Malaysia sedia kerjasama atasi sentimen Islamophobia

Bernama
Disember 2, 2019 06:37 MYT
Mohamad Sabu berkata perkara berkenaan akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit) akan datang. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan negara-negara Islam lain bagi menangani sentimen Islamophobia yang semakin memuncak di seluruh dunia dengan keganasan sering dikaitkan dengan agama itu.
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata perkara berkenaan akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit) yang bakal berlangsung pada 19 hingga 21 Dis ini dengan empat ketua negara Islam dijangka hadir.
"Penting untuk kita menunjukkan contoh Malaysia adalah negara Islam yang inklusif, moden dan progresif dan bersedia untuk menjalin hubungan dengan semua rakan sahabat (negara Islam lain) dan mampu untuk bersama-sama mengurus cabaran keselamatan.
"Ini adalah inisiatif Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) antaranya mengusahakan KL Summit ini yang akan berlaku pada bulan ini," katanya semasa menggulung perbahasan usul Kertas Putih Pertahanan di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Empat ketua negara yang dijangka hadir adalah dari Pakistan, Turki, Indonesia dan Qatar manakala negara-negara lain dalam peringkat perundingan.
Sementara itu, Mohamad menjelaskan tujuan pembentangan Kertas Putih Pertahanan (KPP) adalah bagi membincangkan perancangan kementerian untuk masa depan.
Beliau berkata pihaknya menyambut baik sebarang kritikan untuk menambah baik dan melengkapkan KPP tersebut kerana ia akan diguna pakai sebagai dasar pertahanan negara.
Perbahasan KPP disertai 13 ahli parlimen dan menteri menjawab perbahasan tersebut dalam tempoh 60 minit.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kertas Putih Pertahanan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #Islam #Islamophobia #keselamatan #Mohamad Sabu #Perdana Menteri
;