Malaysia sedia kembali sebagai hab pelaburan serantau, antarabangsa - PM
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 14, 2021 10:35 MYT
Oktober 14, 2021 10:35 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk kembali di landasan betul sebagai hab pelaburan serantau dan antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan ini adalah hasil kerjasama konsep Keluarga Malaysia terutamanya selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.
"Di sebalik pandemik COVID-19, kita perlu memperkasa daya kreativiti dan inovasi dalam meningkatkan pelaburan.
"Salah satu kaedah yang telah berjaya kita lakukan adalah program vaksinasi, yang dirangka kerajaan untuk memastikan persekitaran selamat untuk pelabur.
"Hasilnya, Malaysia kini bersedia kembali untuk menjadi hab pelaburan serantau dan antarabangsa. Ini adalah hasil kebersamaan Keluarga Malaysia.
"Hari ini, gelembung selamat untuk semua perniagaan dengan norma baharu sudah dilaksanakan," katanya dalam ucaptama Invest Malaysia 2021 yang disampaikan secara maya hari ini.
Perdana Menteri berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menggariskan 9 fokus utama dalam usaha mengukuhkan pelaburan Malaysia.
Antara lain, ia adalah untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan ekonomi pemboleh, meningkatkan keselamatan sosial, membasmi kemiskinan tegar dan mengecilkan jurang pendapatan yang meruncing di seluruh negara.
Justeru, Ismail Sabri menegaskan sekali lagi, kerajaan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh lima tahun.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Malaysia menyediakan persekitaran paling kondusif bagi komuniti perniagaan untuk melabur.
"Kita merupakan pintu masuk ke pasaran ASEAN melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
"Dalam kalangan 15 negara RCEP sahaja, menjana hampir 30% daripada KDNK global.
"Dianggarkan bahawa, keseluruhan pendapatan KDNK negara-negara ini akan meningkat sebanyak USD174 bilion pada tahun 2030.
"Ini akan memberikan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana kita lebih banyak peluang dalam pasaran serantau yang lebih luas," jelas Ismail Sabri.