Malaysia sedia jadi hab pusat data ketiga terbesar di Asia - HLIB
Bernama
Oktober 30, 2024 05:15 MYT
Oktober 30, 2024 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan untuk menjadi pasaran pusat data ketiga terbesar di Asia, selepas Jepun dan India, yang memanfaatkan sektor utama antaranya utiliti, tenaga boleh baharu (TBB), hartanah dan telekomunikasi, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Dalam satu nota pada Rabu, firma penyelidikan itu berkata masa depan industri pusat data Malaysia dilihat cerah berikutan permintaan global terhadap infrastruktur digital terus berkembang dan peranannya dalam ekosistem pusat data dijangka meningkat.
Perkembangan pusat data di Malaysia mengalami pertumbuhan yang ketara, dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM114.7 bilion antara 2021 dan 2023.
HLIB berkata Malaysia mempunyai sumber elektrik dan air yang berpatutan dan mencukupi, menarik penubuhan pusat data kerana ia menggunakan sejumlah besar kedua-dua sumber ini, serta pengendali pusat data antarabangsa yang memberikan mereka akses kepada sumber TBB.
"Memandangkan pusat data menggunakan tenaga elektrik dengan banyak, penting untuk meningkatkan penggunaan tenaga yang dijana oleh TBB bagi memastikan objektif sifar bersih Malaysia tercapai.
"Kami menganggarkan secara kasar 35-40 gigawatt (GW) TBB diperlukan (dengan mengandaikan solar) untuk menjana 7.2GW pusat data," katanya.
Sementara itu, bank penyelidikan itu berpendapat selain elektrik dan air, sambungan jalur lebar yang tinggi menjadi utiliti kritikal ketiga dalam industri pusat data.
"Ketersambungan di sini merujuk secara khusus kepada gentian dan bukan sahaja dengan liputan domestik, tetapi juga jangkauan meluas hingga ke sempadan antarabangsa.
"Gentian yang menghantar dan menerima data pada kelajuan cahaya telah menjadi prasyarat untuk rangkaian antara pusat data, korporat, pembangun dan pengguna akhir," katanya.
Di samping itu, lonjakan dalam pelaburan pusat data juga membuka peluang baharu kepada pemaju hartanah.
Pemaju dengan tanah yang sesuai untuk pembangunan pusat data boleh menjual tanah secara terus, membina dan memajak pusat data kepada pengendali atau turut serta mengendalikan pusat data itu, kata bank penyelidikan itu.
Selain itu, ia berkata di bawah sektor pembinaan, kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang canggih adalah penting untuk pusat data moden, yang memerlukan konfigurasi lanjutan dan langkah keselamatan siber.
"Kami menganggarkan terdapat nilai pembinaan pusat data bernilai RM130-228 bilion (berdasarkan saluran paip beban IT 4.5-5.1GW) dan ini akan menjadi rahmat bagi pembina pusat data yang bereputasi," katanya.
-- BERNAMA