Malaysia sedia bekerjasama dengan Indonesia, tugaskan pasukan pengaman ke Palestin - PM

Bernama
Julai 1, 2024 22:20 MYT
Anwar berkata beliau menyambut baik gagasan kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia dan kolaborasi yang boleh diperluas di peringkat rantau ASEAN. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan kesediaan Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan Indonesia dalam aspek penugasan pasukan pengaman ke Palestin sekiranya diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB).
Perkara itu antara inti pati perbincangan melalui perbualan telefon antara beliau dan Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto hari ini.
Anwar berkata beliau menyambut baik gagasan kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia dan kolaborasi yang boleh diperluas di peringkat rantau ASEAN.
"Dalam perbualan kira-kira tiga minit itu, kami juga sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini dan membawa visi, kolaborasi serta keamanan serantau dan sejagat.
"Menyentuh situasi kemanusiaan di Palestin, saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama termasuk dalam aspek penugasan pasukan pengaman bersama Indonesia sekiranya diberi mandat oleh PBB," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa syukur selain mendoakan kesembuhan Prabowo yang selamat menjalani prosedur pembedahan besar minggu lepas.
"Turut mendoakan agar Prabowo diberikan rawatan baik dan penjagaan rapi sepanjang tempoh pemulihan selain diberikan kesembuhan segera untuk bingkas kembali melaksanakan tanggungjawab diamanahkan," kata beliau.
Prabowo, Presiden Terpilih Indonesia bagi tempoh 2024-2029, menjalani pembedahan bagi pemulihan kecederaan yang dialami beliau ketika bertugas dalam dunia ketenteraan sebelum ini.
Anwar juga menzahirkan harapan agar pilihan raya Indonesia yang bakal berakhir dengan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 Nov ini berlangsung dengan baik dan dipermudah.
"Moga segala persediaan untuk pelantikan Prabowo sebagai Presiden pada 20 Okt 2024 akan berjalan dengan lancar," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #Indonesia #kerjasama #pasukan pengaman ke Palestin #Perdana Menteri Anwar Ibrahim
;