Malaysia sedia bantu Bangladesh tangani isu pelarian Rohingya

Raja Hisyam Raja Zaid
September 9, 2017 17:26 MYT
PM Najib turut berkata, Malaysia akan berusaha membantu dari aspek bantuan kemanusiaan. - Bernama
Kerajaan Bangladesh tidak bersendirian dalam menangani isu pelarian Rohingya di sempadan negara itu dengan Myanmar dan Malaysia akan berusaha membantu dari aspek bantuan kemanusiaan kepada mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut berkata, satu pasukan peninjau akan dihantar ke Dhaka, pada Isnin depan untuk berbincang dengan kerajaan Bangladesh tentang tindakan seterusnya untuk membantu golongan yang sedang ditimpa konflik tersebut.
"Kita tak boleh pandang ringan kerana laporan kita terima mereka sedang dizalimi tanpa belas kasihan dengan tindakan yang tidak ada unsur kemanusiaan sama sekali," ujar beliau sewaktu menyempurnakan pelepasan misi bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya oleh Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) ke Bangladesh petang tadi di Lapangan Terbang Angkatan Tentera Udara Subang.
Bantuan kali ini meliputi keperluan makanan sebanyak 12 tan yang disumbangkan oleh iM4U, serta diiringi seramai 35 sukarelawan daripada badan tersebut.
Bersama dengan misi kali ini ialah 12 pegawai ATM dan pegawai awam Kementerian Pertahanan dan wakil dari iM4U.
"Terima kasih kepada kerajaan Bangladesh kerana memberikan kerjasama yang sangat baik untuk (Malaysia) melaksanakan misi kemanusiaan ini," kata Datuk Seri Najib.
Misi bantuan diketuai oleh Ketua Staff Markas Angkatan Bersama Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohamad Adib Abdul Samad dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Datuk Abdul Halim Jalal menggunakan pesawat baharu TUDM A400M.
Selain itu ia juga bertujuan untuk meninjau untuk mendapatkan gambaran sebenar dan mengenal pasti bentuk bantuan kemanusiaan yang mampu disediakan oleh Malaysia.
#Angkatan Tentera Malaysia #misi bantuan kemanusiaan #Najib Razak #pelarian #Rohingya
;