Malaysia-Saudi: Kekal objektif, jangan sibuk hal lain - Penganalisis

Israr Khalid
Mac 10, 2021 12:39 MYT
Perdana Menteri dijemput ke Saudi atas undangan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud. - Foto PMO
KUALA LUMPUR: Ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Riyadh pada 9 Mac 2021 atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud membuka lembaran baharu dalam naratif panjang Malaysia dengan Arab Saudi.
Janji baharu akan termeterai demi mempererat hubungan saudara seagama yang banyak berkongsi keperluan yang sama. Kedua-dua negara kaya dengan cara tersendiri, maka perlu dikongsi bersama nikmat itu dalam episod perhubungan pasca pandemik COVID-19.
Begitupun segala persepakatan yang ditandatangani itu seharusnya tidak dipandang remeh memandangkan usia perhubungan dua negara ini sudah mencecah 61 tahun. Dengan aspirasi sama dan semangat baharu, peluang harus diambil sebaiknya untuk mempertingkat kualiti segala sektor yang terlibat dalam pertalian ini.
Terutamanya dalam sektor pendidikan, Malaysia perlu menyusun semula strategi bagi menggamit para pelajar Saudi supaya melihat kembali negara kita sebagai pilihan utama mereka kerana mutu sistem pendidikannya.
“Pemain industri perlu peka, harus mengikut serta lakukan perubahan yang perlu untuk merealisasikan perkembangan perdagangan dalam sektor-sektor ini.
“Pendidikan ini ‘competition’nya sangat tinggi di dunia. Boleh sahaja anak-anak muda Saudi datang ke Malaysia atau negara lain seperti ke Eropah atau Amerika.
“Jadi kita harus tingkatkan kualiti pendidikan kita, harus buka pendidikan kita dengan lebih baik supaya ia benar-benar diangkat menjadi satu sistem pendidikan bertaraf dunia,” kata Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Herizal Hazri.
Hubungan usaha sama Malaysia dengan Saudi yang mula terjalin pada tahun 1960 ini sehingga hari ini terasnya masih sama, dan ditambah baik dalam siri pertemuan empat mata yang seterusnya supaya kekal strategik seiring peredaran waktu dan keadaan.
Antara objektifnya adalah: pertama, rakan terbaik perdagangan yang dipercayai; kedua, rakan negara Islam yang disegani; ketiga, rakan negara teknologi tinggi yang mampu membawa masa depan yang lebih baik; dan, keempat, negara yang disegani dalam membincangkan pembangunan mapan di masa hadapan.
Namun sejak belakangan ini beberapa insiden berlaku, seperti pembunuhan jurnalis Saudi Jamal Kasshogi di Istanbul pada 2018, telah menjejaskan imej negara Arab yang menjulang sepanduk keamanan yang juga dikongsi sama dengan Malaysia sebagai negara se-Islam.
Pada masa sama, kekayaan dan pengaruh Saudi sebagai kuasa besar Timur Tengah ‘membuka hati’ Amerika Syarikat di bawah kepimpinan baharu untuk mendekatinya. Sudah pasti langkah baharu Amerika itu sedikit sebanyak akan menguji kesetiaan perhubungan Saudi dengan negara lain.
“Jadi tak perlu sebenarnya terlalu masuk ke dalam geopolitik atau isu-isu sensitif antara Saudi dengan negara-negara sekitarnya kerana sememangnya kita tidak mampu sebagai sebuah negara kecil atau sederhana.
“Kita harus disegani tapi dari segi bidang yang kita bagus, yang kita jalankan dengan baik. Yang lain itu bukan tempat kita untuk main peranan yang lebih besar.”
Jadi bagaimana Malaysia dapat terus memperjuangkan mesej keamanan dan keharmonian? Kata Herizal, masanya akan tiba dan sementara itu, terus kekal fokus kepada objektif-objektif kita yang dipegang erat sejak bertahun lamanya.
Tonton sesi penuh temubual Herizal Hazri bersama hos Nazri Kahar dalam Agenda AWANI, di sini:
Agenda AWANI: Signifikan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi dan UAE
#Agenda Awani #Malaysia #Arab Saudi #Herizal Hazri #ISIS
;