Malaysia satu-satunya negara perjuang hak Palestin di Sidang Kemuncak ASEAN - PM Anwar
Firdaus Azil
September 7, 2023 20:25 MYT
September 7, 2023 20:25 MYT
JAKARTA: Malaysia adalah satu-satunya negara yang tegas menyuarakan pandangan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, susulan penindasan berterusan Israel ke atas Palestin, yang sudah berlarutan sejak 75 tahun lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut beliau bangkitkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN bersama negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan Korea, Kanada, dan Australia, selain Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, Malaysia harus konsisten menyuarakan pandangan tentang nasib rakyat Palestin, memandangkan dunia seolah-olah hanya mengambil berat tentang konflik peperangan di antara Ukraine dan Rusia.
“Tapi (Malaysia adalah) satu suara yang perjuangkan rakyat Palestin, dan itu saya tekankan kepada semua negara yang mendengar, seperti AS diwakili (Naib Presiden) Kamala Harris, China oleh Perdana Menteri Li Qiang, Jepun, Korea dan semua termasuk Kanada dan Australia.
“Dan saya nyatakan perkara itu sementara mereka suarakan atau membantah serangan Rusia ke atas Ukraine, tapi kelu membisu dan tidak mengesankan apabila menyentuh atau menyinggung soal Palestin.
“Kita suarakan dengan tegas, perlu hormat hak rakyat Palestin khususnya nilai kemanusiaan, hak asasi dan Sebagainya. Dan Setiausaha Agung PBB António Guterres menyahut dengan menyatakan hari ini akan berpanjangan,” katanya kepada sidang media selepas selesai Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan Sidang-sidang Kemuncak di Jakarta, pada Khamis.
Anwar berkata, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan mengambil inisiatif mengadakan sidang khas Malaysia dengan negara-negara Islam dan Eropah di New York khusus bagi membincangkan situasi di Palestin.
Tambahnya lagi, sidang khas itu akan diadakan semasa mereka menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang akan berlangsung pada 19 September nanti.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau menyahut permintaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan, agar dianjurkan persidangan khas yang serupa bagi membincangkan isu berkaitan peningkatan sikap pelampau perkauman dan agama.
“Turki telah meminta saya membantu anjurkan pertemuan dengan wakil lebih kurang sama di New York, bagi menentang sikap pelampau perkauman dan sentiment anti agama yang disebut Islamofobia, sikap kebencian terhadap agama, khususnya Islam.
“Dan Presiden Erdogan bersetuju dengan saya untuk menganjur pertemuan ini, dan kalau boleh kita akan perluaskan kepada negara-negara Islam dan negara lain,” katanya lagi.