Malaysia sasar tahap satu perangi pemerdagangan orang
Wan Syamsul Amly
Ogos 15, 2016 17:33 MYT
Ogos 15, 2016 17:33 MYT
Kerajaan menyasarkan penilaian tahap satu dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang menjelang tahun 2020 berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu dilihat tidak mustahil berdasarkan komitmen dan usahasama bersepadu jentera penguatkuasaan, perundangan, perlindungan dan juga publisiti yang dilaksanakan.
"Fasa kedua adalah lanjutan daripada pelan tindakan yang sama dilancarkan pada 2010. Fasa kedua ini adalah untuk menentukan agar kita bukan hanya berada di tahap tier dua tetapi kita akan berusaha berada di dalam tier satu.
"Hari ini saya ingin sebut Malaysia berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan bahawa tidak berlaku pemerdagangan orang di negara ini.
"Usaha-usaha yang dilakukan pihak penguatkuasaan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan lain-lain harus dilihat satu usaha yang proaktif untuk menentukan bahawa Malaysia komited bersama komuniti antarabangsa untuk menentukan pemerdagangan tidak berlaku," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang 2016-2020 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Sebelum ini Ahmad Zahid menjelaskan, JNAS mengambil maklum usaha yang dilaksanakan negara ini dalam memperkasakan perundangan sedia ada menerusi pindaan yang berkuat kuasa mulai 18 November tahun lalu.
Katanya, laporan itu juga menyatakan mengenai proses konsultansi yang diadakan antara pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam merangka peraturan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kepada pindaan perundangan yang telah dibuat.
Menurutnya, ia khusus berkaitan aspek kebenaran kepada mangsa-mangsa pemerdagangan orang untuk bergerak bebas atau tinggal di luar dari rumah-rumah perlindungan kerajaan termasuk kebenaran untuk mereka bekerja di negara ini.
Bagaimanapun jelas Ahmad Zahid, situasi menjadi tidak adil apabila ada negara yang menjadi punca kepada pemerdagangan orang dapat kedudukan lebih baik dalam ranking tier berkenaan.
"Saya dan rakan-rakan di Kabinet menentukan bahawa kita buktikan komitmen. Kita terlibat dengan pelbagai kementerian di jabatan dan agensi untuk lihat kepada usaha ini.
"Pada waktu yang sama , negara berkenaan dan masyarakat antarabangsa hendaklah menentukan bahawa negara sumber tidak berada di tahap yang lebih baik daripada kita.
"Dalam keadaan ini, saya ucapkan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajan (NGO) yang dapat membantu, bekerjasama dan membantu memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan," jelasnya.
Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang mengandungi lima prinsip panduan selain masing-masing sembilan matlamat strategik dan bidang program untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2020.