Malaysia sasar ketibaan sejuta pelancong India pada 2017
Bernama
Februari 15, 2017 14:08 MYT
Februari 15, 2017 14:08 MYT
Malaysia menyasarkan untuk menarik kedatangan sejuta pelancong dari India tahun ini dan sedang mempertingkatkan usaha merancakkan sektor pelancongan bagi memastikan sasaran itu tercapai.
"Tahun ini, kami berharap untuk mencapai sasaran yang tinggi dari India, sehingga jumlah pelancong yang tiba mencecah sejuta orang," kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada majlis pelancaran program Pertukaran Pengembaraan dan Pelancongan Asia Selatan (SATTE) di New Delhi pada Selasa petang.
Mohamed Nazri berkata sasaran itu sangat besar namun "boleh dicapai dengan sokongan penuh rakan-rakan kami" dalam industri kembara di India. Pameran pelancongan SATTE selama tiga hari, bermula Rabu, dirasmikan bersama oleh Menteri Negara bagi Pelancongan dan Kebudayaan India Mahesh Sharma dan Mohamed Nazri.
Delegasi Malaysia yang berkunjung ke India itu termasuk para pegawai dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia, wakil dari negeri-negeri dan peserta industri kembara.
India berada di tempat keenam sebagai sumber kedatangan pelancong terbesar bagi Malaysia, dengan sejumlah 722,141 pelancong India direkodkan pada 2015.
Malaysia menerima ketibaan 540,530 pelancong India antara Januari dan Oktober tahun lepas, berdasarkan statistik terkini yang diperoleh.
Malaysia seterusnya melonggarkan prosedur visa untuk merancakkan sektor pelancongan pada 2017. Kerajaan, pada tahun lepas, memperkenalkan kemudahan e-visa yang membolehkan pengeluaran visa kemasukan tunggal dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Malaysia baru-baru ini mengumumkan perjalanan tanpa visa bagi warga India yang tinggal di luar negara. Langkah itu disasarkan kepada berjuta-juta warga India bukan pemastautin yang berpusat di negara seperti di Teluk Arab, Singapura, Britain, Australia dan Amerika Utara.
Malaysia mempunyai program kukuh bagi mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan untuk memikat pelancong dari India.
"India sejak dahulu lagi dilihat sebagai pasaran yang penting bagi Malaysia. Diaspora India paling banyak tinggal di Malaysia dan mereka adalah duta terbesar kami untuk mempromosi Malaysia kepada dunia," katanya.
Mohamed Nazri berkata Malaysia memberi tumpuan kepada pelancongan lestari dan negara ini menawarkan banyak produk khusus yang dapat memikat pengembara dari India. Ini termasuk beli-belah, kembara mewah, pelancongan sukan, destinasi perkahwinan dan berbulan madu.
"Malaysia dianugerahi banyak tapak semula jadi dan warisan yang berbaloi untuk dikunjungi, dan kami berbesar hati untuk berkongsi empat tapak di Malaysia yang diiktiraf UNESCO.
"Tapak itu ialah Taman Negara Kinabalu di Sabah, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, bandaraya Melaka dan George Town serta tapak warisan arkeologi Lembah Lenggong," katanya.
-- BERNAMA