Malaysia sasar kelompok 20 terbaik dunia piawaian keselamatan pekerja
Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 18, 2017 11:39 MYT
September 18, 2017 11:39 MYT
Piawaian keselamatan dan kesihatan pekerja di negara ini perlu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia pada tahun 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, sasaran itu perlu dicapai tidak hanya untuk sektor pekerjaan tetapi juga individu.
"Kita tidak seharusnya meletakkan kebergantungan kepada kerajaan semata-mata untuk meneliti soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
"Justeru, keseriusan dan komitmen setiap anggota masyarakat khususnya pengamal sektor keselamatan dan kesihatan pekerja dapat diteruskan di masa akan datang.
"Ia menjadi hasrat dan impian kerajaan untuk melihat negara berada pada sifar kemalangan di tempat kerja khususnya," kata Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2017 (COSH2017) kali ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Turut hadir pada perasmian ialah Presiden NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Tambah Ahmad Zahid, suasana kondusif keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP) perlu hadir dari pekerja itu sendiri.
"Amalan KKP yang komprehensif dan menepati piawaian adalah bertepatan dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan 2016-2020 terutama penerapan nilai budaya kerja sihat dan selamat.
"Selain itu aspek kebajikan pekerja juga perlu dititikberatkan kerana ia menyumbang kepada kelestarian berterusan KKP," katanya.
Pelan induk terbabit telah dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2016.
COSH 2017 berlangsung dari 18 hingga 19 September 2017 menyaksikan lebih 1,200 peserta dari dalam dan luar negara seperti Vietnam, Laos, Cambodia dan Myanmar.