Malaysia sasar capai nilai perdagangan RM109 bilion dengan India menjelang 2026
Umavathi Ramayah
Ogos 19, 2024 12:18 MYT
Ogos 19, 2024 12:18 MYT
NEW DELHI: Malaysia menyasarkan untuk mencapai nilai perdagangan RM109.59 bilion (AS$25 bilion) dengan India menjelang 2026.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa berkata, nilai perdagangan Malaysia direkodkan menghampiri RM88 bilion (AS$20 bilion) pada tahun 2022, sekali gus meletakkan India sebagai rakan dagang ke-12 terbesar dunia.
Menurut beliau, pada setengah tahun pertama tahun ini, nilai dagangan Malaysia dengan republik itu sudah melepasi AS$9 bilion (RM39.45 bilion).
"Malaysia dan India bersetuju untuk terus meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua negara di mana pada 2022 kita telah menlihat hubungan dua hala yang mencapai AS$20 bilion dan kita meletakkan sasaran untuk mencapai nilai perdagangan RM25 bilion pada tahun 2026.
"Bagaimanapun pada tahun lalu, berlaku sedikit penurunan dari segi jumlah perdagangan Malaysia dan India. Namun, tahun ini kita telah melihat perkembangan positif, di mana sehingga Jun lalu, nilai perdagangan kita melebihi AS$9 bilion," katanya dalam sidang media di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Muzafar memberitahu, Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai ketibaan satu juta pelancongan India pada tahun ini.
Beliau yakin yakin sasaran itu dapat dicapai kerana disokong oleh faktor-faktor seperti pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong India mulai 1 Disember lalu.
"Hubungan rapat dari segi sejarah, sosio budaya Malaysia-India juga merangsang sektor pelancongan kerana India adalah pasaran pelancongan ketiga terpenting selepas ASEAN dan China.
"Ketibaan pelancong India pada 2023 berjumlah 700,000 dan sasaran tahun ini lebih sejuta pelancong," katanya.