Malaysia sambut penerbangan sulung China Eastern Airlines dari Kunming
Bernama
Mac 17, 2024 08:30 MYT
Mac 17, 2024 08:30 MYT
PUTRAJAYA: China Eastern Airlines menjadi syarikat penerbangan antarabangsa terbaharu yang mengendalikan penerbangan terus harian dari Kunming, China ke Kuala Lumpur, dengan penerbangan sulung hari ini.
Tourism Malaysia melalui kenyataan hari ini memaklumkan, laluan baharu China Eastern Airlines menghubungkan Kunming - Kuala Lumpur itu menggunakan pesawat Airbus A320neo dengan kapasiti 148 penumpang.
"Ia menambah 18 penerbangan mingguan sedia ada oleh syarikat penerbangan lain dari Wilayah Yunnan, barat daya China," menurut kenyataan itu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan yang menyambut penumpang penerbangan MU9629 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1) dari Kunming berkata dengan laluan tambahan baharu ini, ia merupakan peluang baik untuk membawa lebih ramai pelancong dari bandar peringkat kedua di China itu.
" ... terutamanya pada masa ini dengan dasar bebas visa untuk pengembara China ke Malaysia. Kami terus memperkasakan usaha promosi dalam mempamerkan kekayaan warisan dan layanan mesra kepada satu daripada pasaran utama kami menerusi pejabat Tourism Malaysia di China," katanya.
Dasar bebas visa untuk pengembara China ke Malaysia berkuat kuasa pada 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024 menyaksikan peningkatan ketara dalam tempahan ke negara ini.
Pada tahun lepas, Malaysia menerima kedatangan 1.47 juta pelancong dari China, pertumbuhan eksponen sebanyak 593.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2022 dengan 212,603 ketibaan. - BERNAMA