Malaysia sambut baik resolusi PBB rujuk ICJ mengenai kewajipan Israel

Bernama
Disember 20, 2024 17:40 MYT
Resolusi itu adalah tindak balas terhadap keputusan Knesset Israel untuk mengharamkan operasi UNRWA di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. - Reuters
PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan penerimaan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Dis lepas bagi memohon Pendapat Nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai tanggungjawab Israel ke atas kehadiran dan kegiatan PBB, Organisasi Antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Resolusi ini yang dibentangkan oleh Negara Sepemikiran termasuk Malaysia di bawah agenda "Memperkukuhkan Sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu", merupakan tindak balas terhadap keputusan Knesset Israel baru-baru ini untuk mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
"Resolusi itu mencerminkan keazaman masyarakat antarabangsa untuk menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Palestin yang Diduduki, memastikan keselamatan orang awam dan kakitangan PBB dan melindungi peranan penting PBB dalam usaha merealisasikan penyelesaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh kepada perjuangan Palestin," menurut kenyataan itu.
Malaysia akan meneruskan usaha ke arah merealisasikan hak penentuan nasib sendiri dan keadilan untuk rakyat Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB termasuk melalui proses perundangan di ICJ.
-- BERNAMA
#resolusi PBB #Malaysia #ICJ #Israel #Gaza #Palestin #UNRWA
;