Malaysia sambut baik perjanjian berhubung program nuklear Iran

Bernama
Julai 17, 2015 11:31 MYT
Malaysia menyambut baik perjanjian yang dicapai antara negara-negara P51 dan Iran mengenai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPoA).
Malaysia menyambut baik perjanjian yang dicapai antara negara-negara P5+1 dan Iran mengenai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPoA) berhubung program nuklear Iran.
Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini, berkata perjanjian komprehensif itu yang dicapai pada 14 Julai di Vienna, Austria seperti terkandung dalam JCPoA adalah langkah positif dan petanda baik bagi usaha-usaha antarabangsa, bertujuan mempertingkatkan keselamatan nuklear.
"Perjanjian bersejarah nuklear itu dicapai hasil rundingan yang panjang bermula pada 27 Jun dan telah melalui tiga lanjutan masa setelah melepasi tarikh akhir pada 30 Jun.
"Rundingan yang baru berakhir itu adalah berdasarkan kepada parameter utama yang dipersetujui pada 2 April di Lausanne, Switzerland," kata kenyataan itu.
Malaysia percaya perjanjian yang dicapai itu akan menyumbang kepada usaha-usaha untuk mengatasi ancaman senjata pemusnah besar-besaran, terutama senjata nuklear dan berharap pihak-pihak berkenaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan konstruktif dan segera kepada JCPoA.
Pada 14 Julai, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, United Kingdom, Perancis, China, Rusia serta Jerman (P5+1/E3/EU+3 negara) dan Iran mencapai perjanjian JCPOA mengenai program nuklear Iran.
#Iran #JCPOA #P51 #Pelan Tindakan Komprehensif Bersama #Wisma Putra
;