Malaysia sambut baik deklarasi Al-Ula pulihkan hubungan antara negara teluk
Bernama
Januari 7, 2021 21:20 MYT
Januari 7, 2021 21:20 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menyifatkan Deklarasi Al-Ula yang ditandatangani negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 5 Jan lepas sebagai perjanjian 'solidariti dan kestabilan' di wilayah Teluk Arab.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini yang menyambut baik perjanjian itu memaklumkan Malaysia menganggap perjanjian itu sebagai satu peristiwa penting yang signifikan dan pencapaian diplomatik yang besar dalam memulihkan hubungan antara negara jiran di Teluk Arab.
"Malaysia mempunyai hubungan erat yang sekian lama dengan semua negara di Teluk dan wilayah Arab. Sebagai rakan kongsi konstruktif, kami akan terus menyokong semua inisiatif damai yang dapat membawa kestabilan, perpaduan dan kemakmuran untuk rantau ini dan seterusnya," menurut kenyataan itu.
Deklarasi Al-Ula diumumkan di luar sesi ke-41 Sidang Kemuncak GCC yang diadakan di bandar Al-Ula, Arab Saudi.
Deklarasi itu penting dalam memperbaiki hubungan antara Emiriah Arab Bersatu bersama Arab Saudi, Mesir dan Bahrain dengan Qatar selepas negara berkenaan memutuskan hubungan diplomatik, perdagangan dan perjalanan dengan Qatar atas dakwaan menyokong kumpulan ekstremis di rantau itu.
-- BERNAMA