Malaysia, Rusia akan meterai MoU pertanian, perikanan
Bernama
Januari 31, 2023 16:40 MYT
Januari 31, 2023 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian serta perikanan tahun ini bagi memperkukuh hubungan dua hala dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia termasuk kerjasama dalam teknologi biji benih, pertanian moden dan pintar, perikanan serta akuakultur.
Menurut kenyataan itu ia selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.
"Topik ini antara perbincangan utama antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu bersama Duta Besar Rusia di Malaysia Naiyl M. Latypov dalam pertemuan di Putrajaya, semalam.
"Dalam pertemuan ini, Rusia mempelawa Malaysia untuk meningkatkan eksport produk pertanian ke Rusia termasuk buah-buahan tropika dan produk makanan laut. Rusia juga bersedia untuk mengeksport produk halal dan soya ke Malaysia," menurut kenyataan tersebut.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Lokman Hakim Ali, pegawai-pegawai kanan MAFS serta wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.
Kenyataan itu juga memaklumkan, Rusia turut berbesar hati menjemput Mohamad ke Persidangan Ekonomi Antarabangsa melibatkan isu keterjaminan makanan yang akan dianjurkan negara itu tahun ini.
Rusia merupakan rakan dagang Malaysia yang aktif dalam memperkukuh hubungan perdagangan pertanian.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, nilai import produk pertanian dan makanan dari Rusia adalah sebanyak RM0.77 bilion.
-- BERNAMA