Malaysia Rice Bowl Startup: Runcloud diumum Syarikat Permulaan Terbaik, 13 ke peringkat ASEAN
Hasimi Muhamad
Oktober 10, 2019 20:30 MYT
Oktober 10, 2019 20:30 MYT
Segala persoalan terjawab apabila 13 pemenang Anugerah Rice Bowl Startup 2019 Malaysia diumum sebagai pemenang dalam majlis yang berlangsung di Oasis Damansara, di sini, hari ini.
Anugerah yang mengiktiraf inovasi, kecemerlangan dan amalan terbaik dalam kalangan peserta ekosistem dan syarikat permulaan itu menyaksikan para pemenang tersebut bakal mewakili negara di anugerah utama ASEAN Rice Bowl Startup pada Januari 2020 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.
Kemenangan tersebut menyaksikan setiap pemenang menerima Khidmat Nasihat Perhubungan Awam Strategik bernilai RM15,000 sumbangan Suppagood PR Sdn. Bhd.
Memasuki tahun kelima penganjuran, Malaysia menjadi negara pertama yang mengumumkan para pemenang Rice Bowl Startup 2019.
Anugerah Rice Bowl Startup 2019 menobatkan syarikat Runcloud sebagai pemenang Syarikat Permulaan Terbaik.
Sementara, Pengasas Zoom, Jeevan Kumar dan Gobi Partners masing-masing memenangi kategori Pengasas Terbaik dan Pelabur Terbaik.
Manakala pemenang-pemenang lain adalah Easyparcel (Syarikat Permulaan E-Dagang dan Rantaian Pembekal Terbaik); Medkad (Best Life Helper); Stixfresh (Syarikat Permulaan Teknologi Makanan/Agri Teknologi Terbaik); dan Favoriot (Syarikat Permulaan IoT Terbaik).
Selain itu, Engage menenangi kategori Kepintaran Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin Permulaan Terbaik; Curlec (Syarikat Permulaan Teknologi Kewangan (Fintech) Terbaik); 1337 Ventures (Program Pemecut atau Inkubator Terbaik); Common Ground (Ruang Kerja Bersama Terbaik); Runcloud (Pendatang Baharu Terbaik); dan GA Space (People's Choice).
Turut hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Mengulas lanjut, pengerusi ASEAN Rice Bowl Startup, Hamdi Mokhtar berkata, pihaknya menerima lebih 3,000 penyertaan pada tahun ini dari seluruh Asia Tenggara, dan ia menunjukkan peningkatan hampir 60 peratus (%) berbanding tahun lalu.
“Syarikat-syarikat permulaan ini datang daripada pelbagai industri dan latar belakang yang ghairah untuk menempah kejayaan buat syarikat mereka.
“Mereka adalah golongan yang berani mengambil risiko dan memajukan komuniti syarikat permulaan dengan kerja keras mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan, di sini.
Sebelum itu, pada majlis sama berlangsung sesi perbincangan antaranya mengenai topik bagaimana peranan agensi kerajaan dalam ekosistem syarikat permulaan Malaysia.
Sesi tersebut yang dikendalikan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Baharin menampilkan ahli panel seperti Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global (MaGIC), Dzuleira Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri; dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said.
Percalonan dibuka kepada semua syarikat yang ditubuhkan kurang dari 5 tahun di mana-mana negara ASEAN.
Untuk sesi tahun ini, percalonan bermula pada 27 Mei 2019 sehingga 9 Ogos 2019.
Ia disusuli dengan satu pusingan penilaian oleh pakar industri dan pemenang setiap negara akan diumum di pelbagai acara kebangsaan pada Oktober dan November 2019 di negara masing-masing.
Pemenang di setiap negara seterusnya berpeluang mara ke peringkat serantau dan mengambil bahagian pada pertandingan akhir serantau.
#ASEAN Rice Bowl Startup
#Bajet 2020
#Malaysia Rice Bowl Startup
#Rice Bowl Startup
#Runcloud
#syarikat permulaan
#usahawan