Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022

Madiha Abdullah
Ogos 9, 2022 15:02 MYT
Trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah di sekitar 3.4 peratus (purata bagi tempoh 2011-2021). - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran pada bulan Jun menurun kepada 3.8 peratus, angka terendah sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara mencapai guna tenaga penuh sejak April lalu iaitu bawah empat peratus berdasarkan definisi ditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Beliau berkata, pencapaian pasaran buruh pada Jun 2022 adalah selaras dengan aktiviti ekonomi semasa yang lebih kukuh susulan peralihan ke fasa endemik di seluruh negara.
”Dengan mengambil kira pelbagai petunjuk ekonomi utama yang menggambarkan momentum pemulihan yang lebih baik dan jangkaan lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan, kadar pengangguran dijangka akan bergerak ke trend jangka panjang.
”Pada Jun 2022, kedudukan tenaga buruh lebih stabil berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.57 juta orang (Mei 2022: 16.54 juta orang).
”Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut kekal pada 69.5 peratus," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mustapa berkata, secara keseluruhan, trend jangka panjang kadar pengangguran negara adalah sekitar 3.4 peratus (purata bagi tempoh 2011-2021).
Di samping itu, beberapa petunjuk utama ekonomi juga menunjukkan prestasi yang menggalakkan, antaranya, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 43.4 peratus pada bulan Jun kepada nilai tertinggi baharu sebanyak RM270.4 bilion dengan eksport mencatat peningkatan sebanyak 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion.
#kadar pengangguran #COVID-19 #ekonomi #Mustapa Mohamed
;