Malaysia ramal trend 'slow travel' meningkat tahun depan

Bernama
Disember 14, 2019 08:43 MYT
Malaysia mempunyai banyak warisan alam dan budaya yang menjadi aset tidak ternilai bagi menarik minat dan pertumbuhan di rantau Asia. --fotoBERNAMA/Hiasan
Malaysia mengunjurkan trend percutian lebih lama atau slow travel sebagai trend perjalanan utama pada tahun 2020, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Trend slow travel menekankan pengalaman berbanding destinasi. Ia adalah tentang bersantai dan mengambil masa lebih lama untuk percutian.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata Malaysia yang mempunyai banyak warisan alam dan budaya adalah aset yang tidak ternilai untuk menarik minat dan pertumbuhan di rantau Asia.
Selepas kebangkitan pelancong bebas, berdikari dan solo, trend perjalanan utama bagi tahun 2020 dijangka slow travel dan menurut Skyscanner, peratusan tertinggi pelancong Asia yang meminati slow travel atau percutian lebih lama pada tahun 2020 adalah Korea Selatan (31 peratus), Hong Kong (29 peratus), Taiwan (28 peratus) dan Jepun (27 peratus), berdasarkan gaya hidup pantas di bandar-bandar Asia.
"Laporan itu juga menunjukkan peningkatan minat dalam destinasi di Asia berbanding Eropah pada 2020, dengan lebih 75 peratus destinasi pilihan di rantau ini," katanya pada majlis Makan Malam Penghargaan Media dan Industri Tourism Malaysia di Glasshouse di Seputeh di sini.
Beliau berkata laporan itu juga menunjukkan peningkatan minat global ke destinasi di Asia berbanding Eropah pada tahun 2020, dengan lebih daripada 75 peratus destinasi pilihan di rantau ini.
Malah, wawasan data yang dikeluarkan syarikat gergasi teknologi perjalanan dunia Amadeus menunjukkan bahawa pertumbuhan tertinggi dalam carian dalam talian untuk perjalanan ke Malaysia adalah dari Korea, Indonesia, China, Thailand dan Singapura.
Sementara itu, Amerika Syarikat dan United Kingdom juga berada di kedudukan atas senarai dari segi jumlah carian, di pasaran keempat dan kelima terbesar, selepas China, Korea dan Singapura.
Dalam ucapannya, Muhammad Bakhtiar juga berkata kementerian itu merancang untuk memulakan kempen Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) secara besar-besaran dan akan menjemput semua media untuk mengambil bahagian dalam sambutan Tahun Baharu dan TMM 2020, yang akan diadakan serentak di Dataran Merdeka pada 31 Dis.
-- BERNAMA
#Muhammad Bakhtiar Wan Chik #percutian lebih lama #santai #slow travel #Tourism Malaysia #trend percutian
;