Malaysia raih pelaburan RM8.9 bilion dari Korea Selatan, Jepun
Bernama
April 26, 2021 18:26 MYT
April 26, 2021 18:26 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mendapat pelaburan komited sebanyak RM8.9 bilion bagi 2021 daripada misi perdagangan dan pelaburan (TIM) ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini, yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
TIM itu diadakan dari 31 Mac hingga 6 April, 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman berkata, Malaysia terus mengalu-alukan pelaburan langsung asing yang berkualiti tinggi dari seluruh dunia.
Beliau berkata, Korea Selatan dan Jepun akan terus menjadi negara pelabur utama di negara ini.
"Pelaburan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia berikutan kesan pengganda ke atas ekonomi dan peranannya berterusan dalam era pasca pandemik.
"Melalui kajian semula dasar dan pendekatan bersasar, kerajaan akan memastikan Malaysia terus menjadi lokasi pelaburan pilihan dengan persekitaran yang baik untuk pelaburan yang berkualiti di Asia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mendahului dalam senarai pelaburan yang diraih ialah SK Nexilis Co. Ltd. dari Korea Selatan, anak syarikat SK Group, yang baru-baru ini mengumumkan pelaburan bernilai RM2.3 bilion untuk mendirikan kilang pembuatan kerajang tembaga nipis di Sabah.
Bagaimanapun, jangkaan pelaburan itu telah disemak semula kepada RM4.24 bilion.
Arham berkata, projek itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan ekosistem industri teknologi tinggi yang lengkap, terutamanya dalam sektor automotif dan telekomunikasi.
"Kilang pembuatan di Kota Kinabalu itu akan dijana menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui, dan operasi tersebut akan menjadi yang pertama untuk SK Nexilis di luar Korea Selatan.
"Malaysia akan menjadi hab utama untuk pengeluaran kerajang tembaga nipis dengan teknologi dalaman, selain meningkatkan rangkaian dan keupayaan tenaga kerja negara dengan kehadiran syarikat tersebut," kata beliau.
SK Nexilis adalah peneraju di peringkat global dalam inovasi teknologi tipis untuk pembuatan kerajang tembaga, menguasai 16 peratus daripada bahagian pasaran dunia untuk bateri kenderaan elektrik (EV).
Pelaburan lain adalah daripada LG Chem Ltd, syarikat kimia terbesar dari Korea Selatan yang mengiktiraf prestij dan pencapaian sebagai syarikat kimia Global Top 10, yang telah menyatakan minat untuk membangunkan kluster petrokimia di Malaysia.
Arham berkata, syarikat akan mewujudkan usaha sama dengan Petronas Chemicals Group Bhd untuk menghasilkan lateks getah nitril butadiena di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dengan potensi pelaburan sebanyak RM600 juta, dan operasi dijangka bermula pada Mac 2023.
"Penubuhan LG Chem di Malaysia akan melengkapkan pembangunan kluster petrokimia di Pengerang, Johor dan meningkatkan penggunaan stok suapan daripada Petronas," katanya.
Selain itu, SPC Group, sebuah konglomerat yang besar menghasilkan makanan dan produk manisan di Korea Selatan, serta antara jenama tertua di negara itu dalam industri manisan dan roti, merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengedaran serantau untuk adunan halalnya dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM91.2 juta untuk memenuhi permintaan daripada pasaran ASEAN.
Dari Jepun, Nippon Electric Glass Co. Ltd. (NEG), antara pengeluar kaca khas terkemuka di dunia, akan melabur sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk pengeluaran baharu gentian e-kaca yang akan digunakan untuk menghasilkan bahagian dan komponen automotif dalam pengeluaran bilah turbin angin untuk penjanaan tenaga angin. - BERNAMA
#Jepun
#Korea Selatan
#pelaburan
#misi perdagangan dan pelaburan
#Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
#Arham Abdul Rahman
#Azmin Ali
#pelaburan langsung asing
#SK Nexilis
#LG Chem