Malaysia-Qatar tingkatkan kerjasama pertahanan, tubuhkan HLC - Hishammuddin

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 19, 2017 11:39 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) dan Menteri Hal Ehwal Pertahanan Qatar, Dr Khalid Mohamad Al Atiyyah (kiri) bersalaman selepas pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani 'Letter of Intent' hari ini. - Foto Bernama
Malaysia dan Qatar bersetuju untuk meningkatkan hubungan pertahanan kedua-dua negara menerusi penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC).
Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, jalinan kerjasama diharap akan dapat memperkukuhkan industri pertahanan antara kedua-dua negara.
Selain itu ia akan memberi tumpuan kepada aspek geo politik, pendekatan peperangan serta agenda memerangi keganasan.
Hishammuddin berkata Qatar telah menunjukkan minat untuk membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di Somalia.
"Ini membayangkan hubungan pertahanan mesra yang dikongsi oleh kedua-dua negara dan perpaduan kedua-dua menteri mengenai perkara ini," kata beliau kepada pemberita selepas pemeteraian Surat Hasrat (LOI) dengan Menteri Negara Qatar bagi Pertahanan, T.Y.T. Dr Khalid Mohamed A. Al-Attiyah, di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Khalid Mohamed berkata ini merupakan hubungan sejarah antara Malaysia dan Qatar dan hubungan itu melangkaui sebarang hubungan diplomatik yang terjalin.
"Saya dan rakan sejawatan saya (Hishammuddin) menaruh harapan untuk menjalin kerjasama antara kedua-dua negara dalam latihan tentera, teknologi dan lain-lain," kata beliau.
#Hishammuddin Hussein #hubungan Malaysia-Qatar #Khalid Mohamed A. Al-Attiyah #Menteri Pertahanan