Malaysia, Qatar pertingkat hubungan dagangan, intai prospek pelaburan baharu

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 12, 2022 18:10 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani selepas majlis menerima menghadap di Istana Negara, Kuala Lumpur. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Qatar dan Malaysia bersetuju untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada dan juga komited untuk meningkatkan keupayaan hubungan dagang antara kedua-dua negara.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Qatar yang juga Menteri Luar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, di sini, hari ini, turut menyatakan komitmen bersama juga dicapai membabitkan kerjasama dalam konteks bantuan kemanusiaan di Palestin dan juga Afghanistan.
“Terdapat dua perkara utama yang kita telah bincangkan dan yang pertama sudah pastinya berkenaan hubungan dua hala terutamanya membabitkan perdagangan.
“Tiga cabang dalam perkara ini iaitu yang pertama hubungan perdagangan yang sedia terjalin adalah baik dan kami komited untuk perkukuhkan lagi dengan perlaburan baharu.
“Contohnnya, kerjasama Baladna FGV bagi produk harian yang mana ia akan menjadi pengeluaran terbesar di rantau ini,” kata Saifuddin.
Jelas beliau lagi, Malaysia dan Qatar juga akan melihat penerokaan perlaburan baharu dalam bidang lain seperti sistem perbankan Islam dan juga ekonomi digital.
Perbincangan yang berlangsung hari ini juga, kata Saifuddin, turut menyentuh soal membabitkan bagaimana kedua-dua negara mampu memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara lain memandangkan iklim perdagangan antarabangsa ketika ini yang semakin kompleks.
Selain itu, isu membabitkan umat Islam yang kian dizalimi oleh zionis Israel tidak ketinggalan disentuh dalam perbincangan dua negara itu.
Sementara itu, Sheikh Mohammed berkata, Qatar sangat menghargai kesudian Malaysia untuk berganding bahu dengan negara itu bagi meningkatkan lagi misi bantuan kemanusiaan bagi umat Islam Palestin.
“Kita telah mencapai persetujuan yang jelas dalam kedudukan kita di sini bahawa umat Islam di Palestin perlu dijamin hak mereka ke atas negara mereka.
“Kita sangat prihatin keadaan membabitkan soal kemanusian di sana terutamanya di Gaza selepas insiden pengeboman,” ujar Sheikh Mohammed.
Kedua-dua menteri itu juga juga membincangkan situasi semasa yang berlaku di Afghanistan di mana Qatar melihat keperluan untuk pemimpin negara itu berpegang kepada perjanjian yang telah dimeterai terutamanya dalam soal menangani keganasan.
Malah Qatar melahirkan rasa kecewa dengan penindasan yang masih berlaku terhadap golongan wanita di negara itu dan mendesak agar kerajaan Taliban segera memberikan hak kepada rakyatnya terutama membabitkan soal pendidikan.
Sheikh Mohammed sebelum itu mengadakan kunjungan mengadap ke atas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berada di Malaysia sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negara ini bermula semalam (11 Ogos).
#Yang di-Pertuan Agong #Saifuddin Abdullah #Qatar #Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani
;