Malaysia pertimbang sertai OECD, pelihara hubungan baik dengan rakan dagang - Tengku Zafrul

Bernama
Julai 22, 2024 13:55 MYT
TENGKU ZAFRUL: Kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah supaya kepentingan negara sentiasa dijunjung. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempertimbang untuk menyertai beberapa organisasi antarabangsa lain termasuk Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sejajar usaha memelihara hubungan baik dengan semua rakan dagang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dalam usaha mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi negara dan menjaga hubungan baik itu terutama kuasa ekonomi dunia, Malaysia juga akan terus memastikan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan pragmatik.
"Kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah supaya kepentingan negara sentiasa dijunjung.
"Ini juga antara sebab utama Malaysia tidak hanya mempertimbangkan penyertaan dalam BRICS, malah beberapa organisasi lain yang sesuai seperti OECD supaya dapat memberi sumbangan untuk pembangunan masyarakat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris mengenai kewajaran Malaysia menyertai gabungan ekonomi BRICS dan bagaimana penyertaan itu tidak merencatkan segala perancangan serta hubungan perdagangan global, pada persidangan Dewan Negara, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan juga memerlukannya untuk sentiasa menumpukan usaha mengeratkan kerjasama ekonomi dengan semua negara rakan dagangnya.
Langkah itu terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif Malaysia dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau serta pelbagai hala termasuk ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam OIC.
"Dalam konteks itu, penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu agenda ekonomi untuk kepentingan negara dan rakyat.
"Menerusi pendekatan strategik dan seimbang, Malaysia dapat mengoptimumkan manfaat daripadapenyertaan dalam BRICS di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan hubungan perdaganganglobal dengan semua rakan ekonomi utama negara," katanya.
BRICS dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta empat negara ahli baharu - Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang secara kumulatif mempunyai 3.54 bilion penduduk.
Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) organisasi itu dianggarkan bernilai US$26.6 trilion (US$1 = RM4.68) atau bersamaan dengan 26.2 peratus daripada KDNK dunia, kata Tengku Zafrul.
-- BERNAMA
#Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #OECD #BRICS #dasar luar negara yang bebas
;