Malaysia pertimbang buka sektor pelancongan antarabangsa - PM
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 25, 2022 10:46 MYT
Januari 25, 2022 10:46 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak untuk membuka pintu sempadan negara kepada pelancong asing bagi merancakkan kembali industri pelancongan.
Keputusan mengenainya, jelas Ismail Sabri, walau bagaimanapun hanya akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan mengikut situasi semasa.
“Kita lihat kesannya, kalau kita masih lagi terlalu keras, kesannya adalah kepada industri pelancongan. Setakat ini industri pelancongan masih lagi belum dibuka sepenuhnya.
"Walaupun dari segi pelancongan tempatan kita telah buka, tetapi pelancong asing masih belum masuk lagi ke negara kita," kata Ismail Sabri.
Jelasnya, sesetengah negara lain juga didapati telahpun mengurangkan SOP yang dikenakan sebelum ini bagi membolehkan pelancong memasuki negara mereka.
“Cuma yang kita masih tutup adalah sempadan negara. Kita terpaksa lakukan ini kerana seperti kita tahu negara luar juga mempunyai kes yang tinggi.
"Sebab itulah kita masih berhati-hati untuk membuka sempadan kita walaupun kita telah memulakan dengan Singapura," kata Ismail Sabri.
Perkara itu, katanya, akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa dan tidak menolak akan melakukan perkara yang sama.
Menurutnya lagi, subsidi upah yang diperkenalkan sebelum ini masih disalurkan kepada pemain-pemain industri pelancongan negara ketika ini bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Malaysia telah dapat mengatasi risiko jangkitan COVID-19 pada kadar yang membanggakan sehingga tempoh sebelum berakhirnya 2021.
Menurutnya, ia hasil daripada polisi kerajaan dalam melaksanakan program vaksinasi bagi membendung pandemik yang menjadi ancaman global sejak beberapa tahun lalu.
“Proses vaksinasi ini berjalan dengan lancar dan kita menjadi salah satu negara yang terbaik di dalam dunia dalam memberikan vaksinasi kepada rakyat kita.
"Lebih daripada 98 peratus rakyat kita divaksinasi dua dos dan sekarang ini dalam peringkat untuk penggalak.
"Saya percaya apabila rakyat mendapat dua dos dan tambahan lagi dengan dos penggalak, kita tak perlu bimbang lagi dari segi kerajaan untuk menutup sektor ekonomi dan juga menyekat pergerakan rakyat,” kata Ismail Sabri.
Tambahnya, kerajaan komited dan kekal dengan keputusan untuk tidak lagi mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi.
#COVID-19
#ekonomi
#ismail sabri yaakob
#jangkitan
#perintah kawalan pergerakan
#Malaysia
#pandemik
#PKP
#sektor pelancongan
#Putrajaya
#program vaksinasi