Malaysia peroleh manfaat kerjasama saling untung

Bernama
Ogos 8, 2022 04:45 MYT
Naib Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Tan Teik Cheng. - Foto fail/BERNAMA
BEIJING: Malaysia, rakan kongsi di bawah gagasan komuniti berkongsi nasib sesama insan, aktif menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan turut mendapat manfaat secara langsung daripada konsep pembangunan berlandaskan kerjasama saling untung yang dikemukakan China.
Demikian kata Naib Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Tan Teik Cheng ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG), baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berkata daya pengendalian pelabuhan tersebut terus melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, manakala perusahaan China merupakan penyumbang utama.
Pada masa sama, pelaksanaan BRI turut merancakkan aktiviti perdagangan negara-negara jiran, menyaksikan banyak produk keluaran Thailand, Myanmar dan Vietnam dieksport ke China melalui Pelabuhan Pulau Pinang.
"Ia sekali gus menyuntik momentum kukuh terhadap pembangunan pelabuhan itu, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan" kata Teik Cheng.
Menurutnya, Malaysia mahu menarik lebih ramai pelabur dari China khususnya syarikat Internet dan pembuatan yang berteknologi tinggi serta berskala besar.
Teik Cheng turut menzahirkan harapan supaya Pulau Pinang dijadikan jendela untuk syarikat China menembusi pasaran ASEAN ke arah mewujudkan situasi sama menang menerusi model pembangunan yang saling menguntungkan.
-- BERNAMA
#Tan Teik Cheng #Malaysia-China #BRI #SPPP
;