Malaysia perlukan sistem amaran taufan - Hartono

Nuradilla Noorazam
November 7, 2017 17:04 MYT
HARTONO berkata Malaysia memerlukan sistem amaran taufan bagi mengenal pasti lebih awal jika berlaku perubahan cuaca itu sekali gus membolehkan persiapan dibuat semua pihak.
Malaysia memerlukan sistem amaran taufan bagi mengenal pasti lebih awal jika berlaku ancaman taufan sekali gus membolehkan persiapan dibuat semua pihak.
Pakar Perlindungan Kilat Hartono Zainal Abidin berkata setakat ini, negara tidak mempunyai sistem amaran taufan untuk memberi amaran kepada orang ramai sebelum berlaku taufan.
"Saya pernah memberi cadangan mengenai kepentingan negara untuk mempunyai sistem amaran taufan sejak tahun 1998 dan 2002 lagi selepas negeri Johor dilanda bencana alam pada Disember 2001.
"Setakat ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hanya mempunyai sistem amaran berkaitan hujan lebat dan jabatan itu tidak mempunyai sistem amaran taufan," katanya dalam temubual bersama Astro AWANI di sini hari ini.
Hartono memberitahu, pakar meteorologi wajar peka bahawa ancaman taufan jauh lebih bahaya kerana keadaannya berpusing dengan kelajuan angin yang lebih tinggi dari biasa.
Katanya, sekiranya MetMalaysia mempunyai sistem amaran taufan, ia mampu membantu kesiapsiagaan awal semua agensi dan masyarakat.
"Banjir di Pulau Pinang pada Ahad lalu disebabkan oleh taufan kecil. Laman web MetMalaysia menunjukkan corak hujan berbentuk spiral yang berada betul-betul di atas pulau pada 6.20 petang, Sabtu.
"Jika taufan ini bergerak pada arah selari maka ia hanya akan berada di Pulau Pinang selama beberapa jam dan tidak akan menyebabkan banjir yang begitu serius.
"Namun taufan ini telah berpatah balik ke pulau dan berlegar selama 12 jam sehingga menyebabkan lebih dari 300ml air hujan membanjiri Pulau Pinang. Ini merupakan banjir yang paling teruk pernah berlaku di negeri itu sejak 30 tahun lepas," katanya.
Hartono berkata taufan itu wujud sejak seminggu lalu dan berada di laut China Selatan selain bergerak ke arah barat menuju ke semenanjung Malaysia sebelum ke Pulau Pinang pada Sabtu.
"Anda boleh lihat dalam diagram pergerak taufan itu yang memasuki Kedah kemudian berpatah balik ke Pulau Pinang dan meninggalkan Semenanjung melalui Kelatan. Taufan ini walaupun kecil menyebabkan banyak pokok tumbang.
"MetMalaysia tidak dapat meramalkan perjalanan taufan ini tapi mereka mengetahui pergerakkannya beberapa hari sebelum kejadian," katanya.
#amaran taufan #banjir #Hartono Zainal Abidin #MetMalaysia #pakar meteorologi #Pakar Perlindungan Kilat #pulau pinang #sistem amaran taufan
;