Malaysia perlukan perubahan, jangan lembap dan duduk di takuk lama - PM Anwar

Azib Zikry
Julai 13, 2024 12:08 MYT
Negara, kata Perdana Menteri, sedang bergerak ke arah negara maju yang memerlukan bidang teknologi, kecerdasan buatan dan tranformasi hijau yang memerlukan tindakan progresif semua. - Gambar hiasan
KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, negara seharusnya bergerak ke arah perubahan dan tidak terperangkap di takuk yang lama.
Menurut beliau, jika kesemua rakyat terlalu selesa, negara akan sentiasa ‘lembap’ meskipun mempunyai potensi yang besar untuk terus maju.
“Kalau Malaysia ini mahu kekal macam dulu lembap, tak meningkat kita kekalkan cara kita jangan buat perubahan.
“Sebab itu dalam hijrah, perlu bangun daripada kealpaan dan bangkit dari atas sampai bawah semuanya, untuk membawa perubahan dalam negara kita,” katanya.
Menurut Perdana Menteri juga, negara sedang bergerak ke arah negara maju yang memerlukan bidang teknologi, kecerdasan buatan dan tranformasi hijau yang memerlukan tindakan progresif semua.
Namun, kata beliau, ia tidak akan dapat direalisasikan tanpa kekuatan rakyatnya yang mempunyai sifat perubahan.
“Malaysia ini punyai keupaayan, kapasiti yang jauh lebih baik, kita boleh angkat martabat bangsa dan negara, kita boleh jadi contoh yang baik ekonominya, politiknya, sosialnya, pendidikannya kerana kekuatan asasnya ada.
“Kalau mahu meningkat percayalah tidak boleh dengan budaya lembap macam sekarang, mesti tegas dan tuntut perubahan,” tambahnya lagi ketika berucap pada majlis Sambutan Jubli Emas Penubuhan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), di sini, pada Sabtu.
#Malaysia #perubahan #takuk lama #PM Anwar Ibrahim
;