Malaysia perlukan 10 hingga 15 tahun untuk kembali jadi Harimau Asia - Tun M

Hakim Rahman
Julai 10, 2019 14:38 MYT
Malaysia memerlukan sepuluh hingga 15 tahun untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai "Harimau Asia", - Astro AWANI.
Malaysia memerlukan sepuluh hingga 15 tahun untuk mengembalikan kegemilangannya sebagai "Harimau Asia", kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, selepas mengambil alih kepimpinan kerajaan buat kali kedua, beliau mendapati masalah yang dihadapi negara akan berkurangan dalam tempoh tiga tahun namun memerlukan tempoh yang lebih lama untuk kembali digeruni.
"Saya fikir asas pemulihan ini telah diletak dan dalam jangka masa tiga tahun masalah kita ini akan berkurangan, tetapi belum sampai ke tahap ia dipulih dengan mudah, untuk pulih sehingga ke tahap menjadi Harimau Asia sekali lagi, mungkin mengambil masa sehingga 10 atau pun 15 tahun,” kata beliau dalam wawancara khas bersama Bernama sempena ulang tahun kelahirannya ke-94.
Dr Mahathir berkata, tempoh tiga tahun sudah cukup untuk Pakatan Harapan menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh.
“Saya fikir dalam jangka masa tiga tahun. Ini pendapat saya setelah saya ambil alih kerajaan. Semasa di luar kerajaan, saya tidak dapat nilai masalah yang dihadapi.
“Tetapi sekarang ini apabila kita berkuasa dapat melihat daripada dalam, kita dapati bahawa masalah ini lebih besar dan akan memakan masa sedikit, tetapi saya fikir dalam masa lebih kurang tiga tahun kita boleh letak negara selamat daripada kecemasan,” kata Dr Mahathir lagi.
#94 #harimau asia #Pakatan Harapan #pemulihan #Tun Mahathir #ulang tahun
;