Malaysia perluas hubungan perdagangan: Pastikan pelaksanaan ACFTA, RCEP berjaya

Bernama
Mac 8, 2024 23:35 MYT
Hairil Yahri menegaskan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan keupayaan industri, sekali gus memperteguh peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan dan nilai global. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia berazam untuk memperluas hubungan perdagangan negara dengan memastikan kejayaan pelaksanaan perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) telah memainkan peranan penting dalam mempermudah perniagaan dan memastikan rantaian bekalan beroperasi dengan lancar di seluruh rantau ini, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global yang berlaku.
ACFTA telah menjadi asas kepada hubungan ekonomi Asean-China, dan Malaysia komited untuk menambah baik ACFTA bagi memastikan ia kekal komprehensif, relevan dan saling bermanfaat kepada semua anggota.
"Sebagai koordinator negara bagi Asean-China dari Julai 2024-2027, Malaysia akan memainkan peranan membina untuk meningkatkan hubungan Asean-China, terutamanya dalam menyokong usaha ke arah memuktamadkan Rundingan Peningkatan ACFTA 3.0," katanya dalam ucap tama pada prapelancaran Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) di sini pada Jumaat.
Selain itu, Malaysia sentiasa mengkaji dan menambah baik rejim kawal selianya, seiring dengan perubahan dalam landskap ekonomi global untuk merebut peluang ekonomi.
MITI juga berusaha sedaya upaya untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan global, diperlihatkan oleh tadbir urus dan persekitaran yang baik, serta matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG), katanya.
Dalam meningkatkan kerjasama industri, Hairil Yahri menegaskan komitmen kerajaan untuk mengukuhkan keupayaan industri, sekali gus memperteguh peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan dan nilai global.
Bagi memantapkan kedudukan utama Malaysia dan meneguhkan ekosistem, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk pembangunan sektor pembuatan strategik di Malaysia, termasuk industri semikonduktor.
Beliau berkata NIMP 2030 menggariskan strategi untuk menarik syarikat fabrikasi wafer yang berdaya saing di peringkat global untuk memulakan operasi tempatan di Malaysia.
Pada masa sama, kerajaan kekal proaktif untuk menggalakkan pelabur meneroka peluang perkongsian strategik dengan industri tempatan, khususnya dalam sektor teknologi tinggi.
"Ini termasuk inisiatif seperti penyelidikan dan pembangunan bersama, pertukaran bakat, kerjasama dalam teknologi memuncul, dan pelaksanaan amalan pembuatan pintar untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran," katanya.
Hairil Yahri berkata MITI bersedia untuk menyelaraskan 58 program di bawah tonggak ekonomi, termasuk MCS 2024.
Inisiatif itu bertujuan untuk menggalakkan dialog dan kerjasama, memudahkan padanan perniagaan, dan meneroka peluang baharu untuk pertumbuhan dan kerjasama," katanya.
-- BERNAMA
#MITI #ACFTA #RCEP #China
;