Malaysia perlu utamakan bekalan makanan negara sebelum eksport ke Singapura
Irfan Faruqi
Januari 30, 2023 18:27 MYT
Januari 30, 2023 18:27 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia harus menilai semula eksport makanan ke Singapura. Keutamaan sepatutnya kepada keperluan rakyat tempatan, memandangkan keselamatan makanan berkait rapat dengan kedaulatan negara.
Pensyarah Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Salawati Mat Basir berkata jika keperluan rakyat Malaysia mencukupi dengan harga yang stabil maka eksport ke Singapura boleh diteruskan.
"Tetapi kita perlu faham, penternak-penternak mahukan keuntungan. Jadi, mereka mungkin akan memanipulasi lagi keadaan supaya mereka dapat jual ke luar negara tetapi tidak mahu jual kepada pengguna tempatan.
"Namun, pada saya kerajaan perlu memainkan peranan yang sangat besar dalam hal ini kerana kerajaan yang mengawal pintu sempadan dan membuat undang-undang." katanya ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI pada Isnin.
Jelasnya, ini bukan soal keengganan berkongsi hasil pertanian kepada negara jiran. Sebaliknya, ia adalah langkah untuk menjamin keselamatan dan keterjaminan makanan dalam negara.
Salawati turut berkata, jika keperluan dalaman mencukupi, maka tidak ada isu untuk eksport ayam atau apa-apa jua makanan kepada negara luar.