Malaysia perlu ubah 'skrip', kata Nazir Razak

Astro Awani
Januari 20, 2021 21:59 MYT
Nazir Razak memaklumkan bahawa perlu ada kajian semula mengenai kontrak sosial yang tersirat, yang turut menambah ia dilihat berlaku dalam semua perkara di negara ini. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak hari ini mencadangkan supaya membuat penyusunan semula kontrak sosial baharu bagi memastikan masa depan yang lebih baik dari aspek ekonomi, politik dan sosial.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Nazir Razak memaklumkan bahawa perlu ada kajian semula mengenai ‘kontrak sosial yang tersirat’, sambil menambah ia dilihat berlaku dalam semua perkara di negara ini.
Beliau juga mengulangi seruannya untuk penubuhan Majlis Perundingan Nasional (NCC) bagi menyatukan pemimpin mengikut bidang masing-masing untuk melakar jalan baru buat Malaysia.
"Kita sebenarnya perlu kembali ke meja dan berunding antara sesama masyarakat. Ajak pemimpin untuk mengadakan meja rundingan dan bersetuju dengan penubuhan kontrak sosial baru.
"Apa yang dikatakan di NCC pada tahun 1970-an tidak direkodkan. Mereka hanya diberitahu mengenai apa yang mereka mahukan dan ketika itu juga ada perbincangan yang kuat.
“Tun Razak dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman hanya duduk dan mendengar. Kemudian mereka membuat Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang inovatif pada masa itu,” jelas putra bongsu kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi webinar yang dihoskan oleh Institut Asia-Eropah Universiti Malaya pada Rabu.
BACA: Ke arah Malaysia yang lebih baik - Nazir Razak
Dalam pada itu, Nazir menjelaskan adalah sukar untuk mengatasi perpaduan sosial tanpa sebarang kerjasama kerana ia berkaitan dengan politik dan ekonomi.
Tidak membuat penetapan sistem yang baharu akan mendorong kepada membawa masalah lama yang sama, katanya sambil mengulaskan bagaimana parti Pakatan Harapan juga dilanda masalah yang sama walaupun pada awalnya sikapnya lebih sederhana.
“Pada dasarnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusaha untuk bersaing dengan UMNO dan Pas (untuk peroleh undi orang Melayu), menyebabkan ketidaktentuan dengan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan lain-lain. Itulah sebabnya kita perlu memperbaiki sistem.
“Malaysia dilihat seperti sedang mencatatkan rekod yang tidak baik. Tidak kira seberapa baik pelakonnya, mereka masih dengan agenda tersendiri. Jadi, kita perlu mengubah skrip,” tambahnya.
#Nazir Razak #UMNO #PAS #Pakatan Harapan #PPBM #CIMB #Perdana Menteri #ekonomi #politik #Melayu #perpaduan #menteri #Malaysia
;