Malaysia perlu terus bersikap terbuka, jadi contoh kepelbagaian budaya - Sultan Nazrin
Firdaus Azil
Jun 11, 2022 10:54 MYT
Jun 11, 2022 10:54 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus mengekalkan nilai yang telah membawa kemakmuran pasca merdeka kepada seluruh komuniti di negara ini, biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran yang melanda, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah.
Baginda bertitah, seperti mana yang tergaris dalam buku bekas Menteri Besar Tan Sri Ramli Ngah Talib – The Malays: Pathfinders and Trailblazers – Kepulauan Melayu merupakan kawasan yang sentiasa memberi ruang kepada perdagangan, kapita, tenaga kerja, dan idea.
Keterbukaan kepada pengaruh asing itu, titah Baginda lagi, yang membentuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya hari ini.
“Kita semua mesti menjuarai dan terus menjadi contoh dalam kepelbagaian budaya,” titah Baginda sewaktu mencemar duli berucap merasmikan buku nukilan Menteri Besar Perak Ke-8, serta Yang di-Pertua Dewan Rakyat ke-7 itu, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, seluruh dunia ketika ini sedang menghadapi tiga krisis besar dan bertindih antara satu sama lain – pandemik COVID-19, peperangan di Ukraine, serta krisis makanan.
Kombinasi ketiga-tiga krisis ini, jelas Baginda lagi, memerlukan semua negara untuk menilai semula langkah globalisasi.
“Pandemik telah menyusutkan hubungan antara negara, syarikat serta rakyat dengan hebat sekali. Rantaian bekalan global sedang goyah, pertumbuhan ekonomi dunia sedang menyusut, manakala harga makanan dan tenaga sedang meningkat naik,” titah Baginda lagi.
Atas sebab itu Baginda menyarankan Malaysia terus berusaha mengekalkan keterbukaan, bagi membolehkan negara mencapai masa depan yang lebih gemilang untuk semua.
Mengulas lanjut mengenai buku tersebut, Sultan Nazrin bertitah, orang Melayu dari segi sejarahnya memang terkenal dengan pencari dan pelopor laluan dalam pelbagai bidang.
Kedua-dua sifat itu, titah Baginda lagi, menunjukkan beberapa nilai yang sepatutnya direnung dan dinilai semula golongan zaman ini.
“Ia membantu kita untuk memahami sumbangan orang Melayu yang besar, tetapi tidak begitu dihargai dalam sejarah dunia, dan meletakkan warisan kita dalam inovasi dan rekacipta.
“Dan ia juga telah membuka ruang kepada interaksi, baik komersial atau budaya, sesuatu yang orang Melayu telah lakukan sekian lama,” Baginda bertitah.
Tema buku tersebut, titah Sultan Nazri lagi, yang sering dibangkitkan dari semasa ke semasa, membuktikan betapa orang Melayu mempunyai sifat mempunyai pemikiran yang luas, dan sentiasa memandang ke hadapan.
Baginda bertitah, Buku tersebut dilihat menghamparkan santapan minda mengenai perkara-perkara yang dapat membantu orang-orang Melayu melawati sejarah bangsanya.
“Jika minda dan jiwa Melayu selama ini terpengaruh dalam perangkap dan orbit pemikiran yang menjadikannya berjiwa rendah, salahnya terletak kepada bangsa kita sendiri, yang memamah bulat-bulat juadah yang dihidangkan oleh orang lain.
“Keadaan tersebut berlaku berpunca daripada sikap bangsa yang tidak memberikan perhatian berat untuk merekodkan, apatah lagi menulis sejarah daripada lensa dan berdasarkan tafsiran bangsanya sendiri,” titah Baginda lagi.
Sultan Nazrin berpendapat, Ramli melalui buku tersebut turut menyelitkan suara hati, kebimbangan terhadap bala yang dikhuatiri sedang melanda bangsanya, dan bimbang melihat bangsanya sedang berada di persimpangan.
Baginda bertitah, sepanjang pengalaman hubungannya dengan Ramli, banyak nasihat yang disembahkan oleh beliau, untuk memandu Baginda memperkenankan perkara-perkara berkaitan tadbir urus negeri.
“Sehingga ke hari ini, atas nama Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja yang juga ahli Dewan Negara Perak, beliau terus berperanan menyembahkan nasihat untuk memastikan kemuliaan dan kedaulatan takhta kekal terpelihara.
“Manfaat memperoleh nasihat berdasarkan pengalaman, pemikiran dan tafsiran beliau, kini akan memberikan manfaat kepada audiens yang lebih luas melalui penerbitan yang dihasilkan ini,” titah Baginda lagi.
#Sultan Perak
#Sultan Nazrin Shah
#The Malays Pathfinders and Trailblazers
#Tan Sri Ramli Ngah Talib