Malaysia perlu teroka, perkasa pertahanan hadapi perang siber - Mohamad

Irfan Faruqi
Januari 10, 2023 18:29 MYT
Mohamad memaklumkan usaha sudah dimulakan oleh Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk membabitkan kerjasama rentas kementerian. - Foto/ Bernama
SUBANG: Strategi pertahanan negara perlu memasuki dimensi baharu termasuk dalam aspek kesiapsiagaan berdepan perang siber, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad berkata, pertimbangan itu adalah wajar berdasarkan kepada realiti yang berlaku di seluruh dunia.
"Satu perkara yang kita lihat, perlunya Malaysia menerokai 'cyber warfare', bukan sahaja kepada pertahanan udara. Ini suatu perkara yang saya sudah sebutkan dalam ucapan dasar awal tahun. (Hal ini) kita perlu perkasakan," katanya ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Pangkalan Udara Subang, pada Selasa.
Mohamad memaklumkan usaha sudah dimulakan oleh Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk membabitkan kerjasama rentas kementerian.
"Ia sudah dimulakan TUDM, dan sudah buat perkongsian pintar antara kementerian-kementerian. Umpamanya dalam bentuk mengawal ruang udara negara kita. Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) bekerjasama dalam operasi mengawal ruang udara," jelasnya.
Sementara itu, Mohamad berkata, ada keperluan untuk kerajaan melihat kepada kekurangan kuasa tempur di udara negara.
"(Kekurangan aset) itu juga amat ketara sekali. Apa yang ada sekarang tidak boleh kita tambah nilai. Kalau ikut negara-negara jiran mereka lebih 'advance' daripada apa yang kita ada.
"Kita bukan hendak bersaing. Kita mahu supaya pertahanan negara kita dalam keadaan bersiap siaga. Kita tidak boleh tahu apa yang akan terjadi. Jadi kesiapsiagaan itu penting dan (untuk itu) kita perlu melengkapkan aset-aset utama angkatan tentera," katanya.
#Mohamad Hasan #TUDM #perang siber #kekurangan aset
;